'Pasir Berdengung' sindiket jual ganja di Telegram tumpas

Mohd Iqbal (tengah) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Glenmarie, Shah Alam pada Ahad lalu. Foto SINAR HARIAN ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Iqbal (tengah) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Glenmarie, Shah Alam pada Ahad lalu. Foto SINAR HARIAN ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Helah sindiket menubuhkan syarikat dengan menggunakan nama 'Pasir Berdengung' dan aktif menjual dadah di aplikasi Telegram terbongkar, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seramai empat suspek termasuk dalang berusia 31 hingga 32 tahun berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Glenmarie, di sini, kira-kira jam 6.40 petang.

Katanya, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah merampas 6.53 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM20,243.

"Siasatan mendapati sindiket pengedaran ini aktif sejak setahun lalu dengan menjadikan kondominium terbabit sebagai tempat pembungkusan.

"Sindiket ini dipercayai aktif di grup telegram dengan menawarkan harga mengikut berat ganja iaitu serendah 100 gram," katanya dalam sidang akhbar di IPD Shah Alam di sini pada Khamis.

Cebisan bunga ganja yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Glenmarie, Shah Alam, Ahad lalu.
Cebisan bunga ganja yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Glenmarie, Shah Alam, Ahad lalu.

Beliau berkata, pembeli kemudian akan membuat pembayaran kepada akaun syarikat 'Pasir Berdengung' sebelum penghantaran dibuat melalui khidmat kurier.

Katanya, siasatan awal mendapati pembeli rata-rata dari sekitar Lembah Klang dan pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun Telegram yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Semua suspek yang positif dadah itu kini direman tujuh hari sehingga 21 Januari untuk siasatan termasuk usaha mengenal pasti sumber ganja itu diperolehi," ujarnya.

Tambah Mohd Iqbal, operasi ini turut menyita dua kereta jenis Mazda 3 dan Perodua Bezza selain motosikal jenis Yamaha FZ150I serta Honda RSX.

Tegasnya, polis akan terus meningkatkan usaha memerangi kegiatan pengedaran dadah agar kegiatan ini dapat dibanteras habis-habisan.