Perkahwinan kontrak menyalahi maqasid syariat pernikahan

PERKAHWINAN kontrak bertentangan dengan maqasid syariat dalam pernikahan kerana dilakukan untuk jangka masa tertentu.
PERKAHWINAN kontrak bertentangan dengan maqasid syariat dalam pernikahan kerana dilakukan untuk jangka masa tertentu.
A
A
A

INGATKAN perkahwinan kontrak hanya sekadar cerita yang boleh dibaca dalam novel ataupun ketika menonton drama.

Tidak sangka pula ia benar-benar berlaku dalam dunia realiti. Buktinya apabila tersebar laporan media tempatan yang mendedahkan, lelaki asing kini menjadi pilihan anak dara tua dan janda untuk dijadikan suami bagi mengelak stigma tidak berkahwin.

Apa yang mengejutkan, laporan itu mendedahkan, majoriti kaum Hawa terbabit mempunyai ekonomi yang stabil dan kedudukan kewangan kukuh.

Bahkan, ada yang menawarkan elaun bulanan, tempat tinggal, kenderaan dan peluang perniagaan kepada pasangan. Semua ganjaran itu merupakan antara sebahagian daripada perjanjian kahwin dalam untuk tempoh tertentu.

Ketahuilah bahawa perkahwinan kontrak atau disebut juga mut’ah, mu’aqat atau munqath’i bertentangan dengan maqasid syariat dalam pernikahan kerana dilakukan untuk jangka masa tertentu.

Demikian tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel terbaharunya, Irsyad al-Fatwa Siri ke-826: Kahwin Kontrak di laman web rasmi miliknya.

BANYAK kerosakan akan terhasil daripada perkahwinan kontrak kerana telah lari daripada tujuan sesuatu ijab kabul.
BANYAK kerosakan akan terhasil daripada perkahwinan kontrak kerana telah lari daripada tujuan sesuatu ijab kabul.

Artikel Berkaitan:

“Dalam ikatan pernikahan begini, tempoh perkahwinan itu bergantung kepada masa dinyatakan dalam akad yang mana ikatan suami isteri itu akan terputus dengan sendirinya tanpa melalui proses perceraian.

“Perkahwinan ini haram dan tidak sah kerana dalam akad pernikahan, hendaklah tiada tempoh tertentu sepertimana yang dibincangkan dalam fiqh munakahat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Apa yang dijelaskan oleh pejabat mufti berkenaan mempunyai asasnya tersendiri.

Agensi terbabit merujuk kepada pandangan Ibnu Abbas yang menyatakan secara jelas pengharaman perkahwinan kontrak secara mutlak berdasarkan pendapat jumhur sahabat.

Begitu juga dengan pandangan Qadhi Iyad yang berpendapat, berlaku ijmak dalam kalangan ulama yang mengharamkannya kecuali aliran Syiah Rafidah.

Bagaimana pula jika tempoh perkahwinan dalam pernikahan kontrak tersebut tidak disebutkan dalam akad?

Walaupun begitu keadaannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perkahwinan berkenaan tetap bertujuan untuk tempoh masa tertentu kerana ada matlamat tersirat yang ingin dicapai.

Andai cukup rukun dan syarat perkahwinan, katanya, ikatan tersebut adalah sah, tetapi ia merupakan perbuatan menyalahi maqasid syariat daripada pernikahan yang mementingkan kelangsungan hubungan suami dan isteri sepanjang hayat.

“Malah, banyak kerosakan akan terhasil daripada perkahwinan begini kerana telah lari daripada tujuan sesuatu ijab kabul.

JUMHUR sahabat mengharamkan perkahwinan secara kontrak.
JUMHUR sahabat mengharamkan perkahwinan secara kontrak.

“Dari satu segi, ia juga merugikan pihak wanita kerana dijadikan seperti barang dagangan yang boleh dipermainkan oleh pihak lelaki,” ujarnya.

Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan agar kita menjauhi perkahwinan kontrak sebegitu kerana natijah buruk yang boleh menjejaskan keharmonian institusi kekeluargaan dan impak-impak lain.

“Ingatlah, ikatan perkahwinan adalah hubungan yang harmoni dan penuh kasih sayang berkekalan,” nasihatnya.