3 mualaf kongsi kisah terima hidayah ALLAH atas nama perkahwinan

Pernikahan medium dakwah paling berkesan, lembutnya nur ALLAH hadir dengan rahmat-NYA menerusi ikatan suci itu

DARI kiri: Qosim, Muhammad Ganeson dan Mohd Sufian masih mengikuti kelas-kelas agama walaupun ada dalam kalangan mereka sudah lama memeluk Islam. -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
DARI kiri: Qosim, Muhammad Ganeson dan Mohd Sufian masih mengikuti kelas-kelas agama walaupun ada dalam kalangan mereka sudah lama memeluk Islam. -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SAAT hidayah datang menyapa, tiada siapa dapat menghalangnya.

Biarpun perkahwinan mungkin dijadikan alasan untuk menganut agama Islam, namun tanpa petunjuk-NYA, kita bukanlah sesiapa.

Sepertimana yang dikongsikan seorang mualaf, Abdullah Sajad Al Qosim Tan Fuan Hiang, 56, ketika ditemu bual Sinar Islam di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Klang, Selangor baru-baru ini.

QOSIM -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
QOSIM -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau memeluk agama suci itu pada Ogos 2003 iaitu dua hari sebelum majlis pernikahan bersama gadis Muslim pilihan hatinya di kampung halaman suri hatinya, Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia.

Namun begitu, perkahwinan bukanlah satu-satunya alasan Abdullah Sajad Al Qosim yang mesra disapa Qosim mengambil keputusan untuk menjadi saudara baharu.

“Sejak kecil lagi, saya sudah biasa mendengar azan di televisyen, cuma mungkin belum terpanggil untuk memeluk Islam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Barangkali disebabkan isterinya merupakan ‘orang luar’, Qosim mengakui dirinya tidak dapat mendalami Islam dan melakukan kewajipan sebagai Muslim sepenuhnya.

Namun, beliau tidak pernah menyalahkan pasangannya.

QOSIM (belakang) mula mengikuti kelas pengajian agama selepas lima tahun memeluk Islam sehingga ke hari ini. -Foto: IHSAN ABDULLAH SAJAD AL QOSIM TAN FUAN HIANG
QOSIM (belakang) mula mengikuti kelas pengajian agama selepas lima tahun memeluk Islam sehingga ke hari ini. -Foto: IHSAN ABDULLAH SAJAD AL QOSIM TAN FUAN HIANG

Sesungguhnya, ALLAH MAHA PENYAYANG. DIA tidak membiarkan Qosim terus hanyut.

Hanya selepas lima tahun, barulah Qosim mula serius mempelajari fardu ain dan menggali ilmu agama sehingga hari ini.

“Saya sedar, sebagai ketua keluarga, sudah pasti anak-anak akan bertanya macam-macam apabila semakin dewasa. Jika mereka tanya perihal solat, takkanlah saya jawab tidak tahu, tentu rasa malu.

“Sepatutnya lelaki yang memimpin keluarga. Namun dalam kes saya lain kerana isteri orang luar dan tidak tahu saluran yang ada dalam negara ini untuk golongan mualaf seperti saya,” katanya yang masih mempunyai keluarga bukan Islam.

Sebelum menoktahkan bicara, Qosim menitipkan pesanan buat mualaf yang mahu bernikah.

“Suami atau isteri perlu membimbing pasangan masing-masing. Carilah tempat pengajian untuk mendalami ilmu agama.

“Sebenarnya semua ini memerlukan kesungguhan. Kalau kita enggan lakukannya, maka kita tidak akan dapat apa-apa,” katanya.

Isteri ikut pengajian

Apa yang dilalui oleh Qosim turut sama dilalui oleh Mohd Sufian Abdullah, 71. Hanya naratif ceritanya sedikit berbeza.

MOHD SUFIAN -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
MOHD SUFIAN -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Siapa sangka pesara yang pernah melakukan kerja sampingan di kelab malam itu kembali kepada agama fitrah tersebut pada tahun 1978.

“Saya ada seorang kawan Muslim di kelab malam itu. Dia sering bercerita tentang Islam dan saya pula buka kisah gereja.

“Ada satu soalannya menjentik hati saya apabila dia bertanya ‘mengapa awak tak terus minta ampun dengan Tuhan, berbanding gunakan perantara (paderi) di gereja?,” katanya menceritakan detik dirinya tertarik dengan agama suci itu, sebelum mengambil keputusan berhenti kerja di kelab malam dan memeluk Islam, dua bulan kemudian.

Langkah lelaki berbangsa India itu untuk mendalami Islam semakin panjang selepas berkahwin dengan wanita Melayu berasal dari Kuala Selangor, Selangor, Rahimah Hasbullah, 61.

Jika sebelum ini beliau biasa ke kelas fardu ain secara bersendirian, Mohd Sufian sudah tidak berseorangan lagi.

Isterinya turut sama menemani dan sama-sama belajar agama dengannya.

“Alhamdulillah, sudah rezeki saya, segalanya dipermudahkan kerana keluarga saya dan isteri, masing-masing melayan kami dengan baik.

“Walaupun ibu saya masih Kristian, tetapi hubungan kami baik dan mesra termasuk dengan isteri,” katanya yang dibesarkan dalam suasana kejiranan Melayu.

Perkahwinan campur memberinya suatu dimensi fikrah berbeza.

MOHD SUFIAN (barisan tengah, tiga, kiri) bersama isteri, anak dan menantunya serta cucu-cucunya. -Foto: IHSAN MOHD SUFIAN ABDULLAH
MOHD SUFIAN (barisan tengah, tiga, kiri) bersama isteri, anak dan menantunya serta cucu-cucunya. -Foto: IHSAN MOHD SUFIAN ABDULLAH

Mohd Sufian yang kini merupakan Ketua Biro Dakwah Perkim Cawangan Klang memberitahu, beliau melihat banyak perkara boleh disesuaikan asalkan tidak melanggar syariat.

“Sebagai contoh, apabila isteri saya menghadiri majlis perkahwinan sebelah keluarga saya yang bukan Islam, dia masih boleh memakai pakaian Punjabi dan sari yang menutup aurat,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, bapa kepada lima anak dan 12 orang cucu itu mengakui: “Perkahwinan adalah satu medium dakwah, cuma para mualaf dan mahu berkahwin dengan pasangan Muslim perlu ada ilmu untuk mentarbiah keluarga.

“Peliharalah silaturahim dengan keluarga yang belum Islam dengan menunjukkan akhlak serta teladan baik kepada mereka.”

Bapa mentua cetus peluk Islam

Dalam kalangan tiga mualaf yang penulis temu bual, kisah seorang saudara baharu bernama Muhammad Ganeson Mailvaganam begitu berbekas dalam hati.

USIA bukan penghalang buat Muhammad Ganeson dan isterinya, Khanamon Iammot untuk menggali ilmu agama, apatah lagi mereka baru sahaja memeluk agama suci itu lima tahun lalu.
USIA bukan penghalang buat Muhammad Ganeson dan isterinya, Khanamon Iammot untuk menggali ilmu agama, apatah lagi mereka baru sahaja memeluk agama suci itu lima tahun lalu.

Kebetulan, lelaki berusia 62 tahun yang mesra disapa sebagai Ganeson itu paling ‘junior’ berbanding dua rakannya tadi.

Beliau yang berasal dari Kuantan, Pahang memeluk Islam pada 1 Oktober 2018 di Masjid Hakeemuddin, Nakhon Nayok, Thailand. Namun, tarikh yang direkodkan menerusi kad pengislamannya di Malaysia adalah pada 19 April 2019.

Apa yang menarik perhatian adalah faktor Ganeson mengucapkan kalimah Tauhid dicetuskan oleh arwah bapa mentuanya.

“Arwah bapa mentua saya dulu beragama Buddha dan duduk selama 30 tahun di tanah wakaf. Ketika berusia sekitar 68 atau 69 tahun, dia bekerja sebagai penggali kubur untuk orang Islam.

“Lama-kelamaan, dia menyuarakan hasrat hatinya kepada saya dan ahli keluarganya untuk memeluk Islam sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Ibu mentua dan anak-anaknya masing-masing menyambut baik hasrat tersebut,” katanya sambil memberitahu bapa mentuanya meninggal pada tahun lalu.

MUHAMMAD GANESON (belakang, kanan) tidak ketinggalan mengikuti Kelas Fardu Ain Mualaf bimbingan Ustaz Abdul Razak Mohd Ali di Klang, Selangor, yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor.
MUHAMMAD GANESON (belakang, kanan) tidak ketinggalan mengikuti Kelas Fardu Ain Mualaf bimbingan Ustaz Abdul Razak Mohd Ali di Klang, Selangor, yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor.

Pada awalnya, Ganeson yang juga bekas sami Buddha itu mengakui, beliau terperangkap dalam dilema untuk menganut agama suci tersebut atas beberapa faktor.

Namun selepas beberapa ketika, akhirnya beliau mengambil keputusan nekad untuk bersyahadah bersama isterinya, Khanamon Iammot, 59, dan keluarga bapa mentuanya pada waktu yang sama.

Pemimpin dalam keluarga

Melihat kepada ketiga-tiga kisah saudara baharu tadi, benarlah perkahwinan boleh menjadi medium dakwah yang ampuh.

Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Hushim Salleh bersetuju dengan pernyataan itu.Ketika diwawancara Sinar Islam, beliau yang merupakan Naib Pengerusi Perkim Selangor dan Pengerusi Perkim Klang menjelaskan, pernikahan menjadi medium dakwah paling berkesan dengan syarat Muslimin dan Muslimat mesti menjadi pemimpin dalam keluarga.

Tambah memberi impak lagi apabila suami yang menjadi model kepada isterinya kerana lelaki sifatnya memimpin, ungkapnya.

HUSHIM -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
HUSHIM -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Malah katanya, orang yang didakwah (pasangan) itu pula berada 24 jam bersamanya, maka akan memudahkan proses membimbing mereka.

"Ada lelaki Muslim yang berkahwin dengan ibu tunggal anak tiga. Lama-kelamaan anak-anak itu juga akan masuk Islam kerana melihat akhlak baik yang ditonjolkan oleh ayah, bapa solat, elok tutur katanya, tidak memaki hamun, tidak minum arak dan lain-lain.

"Itulah nilai Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW iaitu akhlak. Ramai yang masuk Islam di bawah Perkim Cawangan Klang kerana faktor akhlak yang menjadikan mereka tertarik dengan agama suci ini," katanya.

Syahadah disusuli tarbiah

Sebelum seseorang itu menganut Islam asbab perkahwinan, Hushim yang juga seorang kaunselor memberitahu, pihaknya akan memberi penerangan terlebih dahulu tentang agama suci itu, tujuan dan matlamat perkahwinan dalam rumah tangga.

“Selepas syahadah dilafazkan, mereka akan mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam. Kalau di Selangor, kita ada Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan banyak lagi seperti di masjid.

“Bimbingan itu memang ada dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya untuk lima tahun dalam tempoh pemerhatian kita. Sebab itulah kita melihat ada dalam kalangan mereka lebih alim berbanding kita yang sememangnya dilahirkan Islam,” katanya.

Tokoh agama Perkim Cawangan Klang, Ustaz Saifudin Ahmad yang berpengalaman mengislamkan saudara baharu hampir 10 tahun menjelaskan, terdapat garis panduan tertentu dalam proses syahadah berkenaan.

USTAZ SAIFUDIN -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
USTAZ SAIFUDIN -Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Bukan sahaja memperkenalkan lafaz dua kalimah syahadah, mereka juga akan diperkenalkan dengan Rukun Islam dan Rukun Iman, selain apa yang perlu dilakukan selepas memeluk agama Islam.

“Kepada mereka yang masih mempunyai keluarga, kita nasihatkan supaya tidak memutuskan hubungan tersebut walaupun familinya belum Islam. Andai patut diziarah, kita galakkan mereka berbuat demikian.

“Akhir sekali, kita letakkan harapan penuh kepada mereka supaya tidak terkeluar daripada ajaran Islam,” katanya.