Poligami: Penderaan mental kepada isteri?

Islam benarkan perkahwinan lebih daripada satu dengan syarat-syarat ketat, bukan sekadar dorongan nafsu atau keinginan

PERKAHWINAN poligami dibenarkan dalam Islam dengan syarat-syarat yang ketat.
PERKAHWINAN poligami dibenarkan dalam Islam dengan syarat-syarat yang ketat.
A
A
A

SEBUT sahaja poligami, ramai melenting. Barangkali kisah-kisah yang berlaku sebelum ini banyak memberi impak negatif hingga memberikan gambaran salah terhadap perkahwinan lebih daripada satu.

Lebih-lebih lagi apabila melihat suami berkahwin lain ketika isteri sedang berpantang atau masih lagi mabuk akibat hamil. Sentimen sebegitu membuatkan warga siber rancak melontarkan komentar yang adakalanya disulami emosi.

Meskipun ia hanya pandangan peribadi, implikasinya begitu besar sehinggakan ada segelintir orang yang menganggap, poligami adalah satu bentuk penderaan mental kepada isteri.

Justeru, bagi mengupas lebih terperinci tentangnya, Sinar Islam mendapatkan penceramah bebas, Dr Robiah K Hamzah.

DR ROBIAH
DR ROBIAH

Sebelum itu, beliau mengajak kita mendasari perkahwinan poligami yang dibenarkan Islam dengan syarat-syarat ketat.

Jelas beliau, poligami dibolehkan jika si isteri sakit tidak boleh sembuh, sakit berjangkit, gila, hilang ingatan dan mandul.

Artikel Berkaitan:

“Memang benar isteri tiada hak untuk menahan tanpa sebab musabab yang jelas andai ia benar-benar mengikut syariat Islam. Malah, ia tidak boleh dianggap sebagai satu penderaan atau kezaliman kepada isteri.

“Kadangkala ada yang tidak faham hukum membuatkan mereka terlupa perkara yang dibolehkan agama.

“Bahkan, harus diingat poligami juga pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan syarat-syarat ketat dan kebanyakan individu yang dinikahi Baginda ialah janda disebabkan kematian suami dalam peperangan atau demi menyelamatkan akidah,“ katanya.

Tak boleh menghukum

Bukanlah mahu membela kaum Adam yang mahu bernikah lagi, namun Robiah menegaskan, fakta yang dikemukakan adalah bersandarkan syariat agama.

“Sebab itulah secara umumnya, kita tidak boleh menghukum apabila berlaku poligami, kita labelkan suami itu zalim, tak sayang isteri, dera isteri dan sebagainya. Itu persepsi salah.

“Sebenarnya, kekuatan dalam memberi kesempatan kepada perempuan lain bernikah dianggap satu ibadah daripada mereka langsung tidak berkahwin dan tiada zuriat.

“Sedangkan, Nabi Muhammad SAW mahu melihat umatnya yang ramai. Andai suami mampu menjalankan tugas dengan baik, ikut perintah agama dan amalkan cara hidup Islam, tidak perlulah kita terasa hati atau rasa ia menyulitkan andai suami mahu bernikah lagi,“ ungkapnya.


KEGAGALAN sebahagian suami untuk berlaku adil atau berpoligami dengan cara yang salah telah memberikan impak negatif kepada masyarakat khususnya kepada kaum Hawa hingga poligami dipandang sebagai suatu perbuatan negatif.
KEGAGALAN sebahagian suami untuk berlaku adil atau berpoligami dengan cara yang salah telah memberikan impak negatif kepada masyarakat khususnya kepada kaum Hawa hingga poligami dipandang sebagai suatu perbuatan negatif.

Mengertilah bahawa poligami tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk kezaliman kerana ia datang dengan amanah yang besar kepada ALLAH SWT dan manusia, ungkapnya.

“Ingatlah, jodoh pertemuan pada tangan Tuhan. Tidak akan terjadi perkahwinan andai ALLAH tidak kata ‘ya‘. Jangan pula kita mengata ‘orang itu gatal‘, ‘tak sedar diri dah tua‘, ‘tak mampu‘ atau melabelkan isteri pertama tidak boleh jadi isteri yang baik.

“Jangan jadi orang yang ada ilmu, tetapi terikut-ikut adat sehingga sanggup berkata bukan-bukan kepada pasangan yang berpoligami,“ pesannya.

Kepada satu soalan, Dr Robiah menjawab: “Kebanyakan kes suami berkahwin lagi ketika isteri sedang berpantang atau hamil mungkin kerana dorongan seks yang besar, tetapi layanan itu tidak mampu diberikan oleh pasangan disebabkan faktor sakit dan sebagainya. Setiap orang tidak sama dalam hal ini dan pasangan masing-masing perlu faham.

“Saya tidak kata, tindakan lelaki itu betul. Sebaliknya, kita kena ambil kira yang melakukan itu membuatnya mengikut alasan agama, keperluan biologi serta bukan sekadar nafsu semata-mata.

“Dalam hal ini, saya tidak menyokong ataupun menggalakkan (poligami), tetapi mahu memperbetulkan persepsi supaya tidak melihat hukum agama ini seperti salah. Ini kerana kahwin itu merupakan perintah ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW. Sebelum berpoligami, para suami perlu tahu apa yang perlu dibuat hingga menjadikan perkahwinan lebih dari satu itu tidak dianggap buruk.“

Maksud kemampuan

Seperkara lagi, Robiah menjelaskan, kemampuan dalam berpoligami sebenarnya bukanlah diukur dari segi material semata-mata.

SUAMI tidak boleh memandang ringan dengan tanggungjawab yang perlu dipikul lebih-lebih lagi setelah berpoligami dan wajib berlaku adil kepada para isteri tanpa mengabaikan kewajipan serta tanggungjawab mereka.
SUAMI tidak boleh memandang ringan dengan tanggungjawab yang perlu dipikul lebih-lebih lagi setelah berpoligami dan wajib berlaku adil kepada para isteri tanpa mengabaikan kewajipan serta tanggungjawab mereka.

Pakar motivasi dan kaunseling keluarga itu menjelaskan, ia turut merangkumi ilmu pengetahuan, mengurus masa, kasih sayang, keadilan dan lain-lain.

Berhubung hukum isteri melarang suaminya berpoligami, Pengarah Urusan RKH Motivation & Services itu menjelaskan, dosa atau tidak bergantung kepada pertimbangan isteri terhadap tanggungjawab suami kepada keluarganya.

“Andai suami membiarkan isteri lintang-pukang seorang diri bersama anak-anak, kemudian dia bercerita untuk berkahwin lagi, itu masalah tanggungjawab yang mana suaminya tidak mampu menggalas amanah. Perlu diingat menjadi tugas suami menyelamatkan keluarga daripada api neraka, selain memberi nafkah.

“Kalau dua tanggungjawab ini, tidak mampu dilunaskan kepada keluarga pertama, bagaimana pula dia hendak kendalikan keluarga kedua (isteri kedua)?

“Andai demikianlah alasannya mengapa isteri pertama melarang, itu adalah wajar demi menyelamatkan suami daripada api neraka,“ katanya.

Kepada lelaki yang mahu berpoligami, Robiah berpesan agar melengkapkan diri dengan ilmu sebagaimana disebut dalam al-Quran dan hadis, di samping melihat kebaikan, kelemahan, keadilan, tanggungjawab dan kemampuan diri.

“Jangan biar anak-anak dan isteri-isteri berada dalam keadaan tertekan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mereka. Sudahlah isteri mahu membela anak lagi, tetapi suami pula kahwin lagi mahu bergembira.

“Baik isteri pertama atau kedua, belajarlah bertolak ansur yang lebih ikhlas dan jujur,“ titipnya.