Suami terlantar selepas terjatuh pokok duku

Norashikin di samping suaminya, Mat Sani di rumah mereka di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang.
Norashikin di samping suaminya, Mat Sani di rumah mereka di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kehidupan pasangan suami isteri di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang di sini berubah sepenuhnya selepas suami yang menjadi tulang belakang untuk menyara keluarga kini terlantar dan tidak mampu lagi bekerja selepas terjatuh dari pokok duku dalam kejadian pada September tahun lalu.

Menurut Norashikin Md Said, 43, suaminya, Mat Sani Embong, 40, yang terlantar sejak lebih dua bulan lalu perlu diberi perhatian sepanjang masa menyebabkan dia tidak boleh keluar rumah untuk bekerja.

"Buat masa sekarang ni kami tiada pendapatan dan terpaksa bergantung kepada wang bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan sumbangan orang ramai untuk tampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak.

"Bekalan ubat-ubatan suami pula diperoleh dari hospital seperti ubat saraf dan ubat sendi.

"Untuk tiub kencing pula ada doktor dari Klinik Kesihatan Kampung Tengkawang yang akan datang untuk tukar setiap dua minggu sekali.

"Suami saya juga perlu dipakaikan lampin pakai buang kerana tidak dapat bangun untuk bergerak ke tandas," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Menurut Norashikin, sebelum ini suaminya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas terjatuh dari pokok duku setinggi 2 meter pada 5 September tahun lalu.

Jelasnya, ketika insiden itu, kepala suaminya yang terjatuh dahulu menyebabkan dia mengalami masalah pada bahagian saraf tulang leher (cervical spine) C2 dan perlu segera dibedah.

Artikel Berkaitan:

Keadaan rumah Md Sani di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Keadaan rumah Md Sani di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

"Kos untuk pembedahan ketika itu sekitar RM12,000 hingga RM13,000. Disebabkan tiada wang simpanan sebanyak itu, suami tidak dapat dibedah.

"Saya cuba juga dapatkan duit dari mana-mana saluran lain, namun tidak berjaya. Jadi, sehingga kini suami terlantar dan belum pulih.

"Suami saya pun tidak berani untuk bedah kerana tiada jaminan untuk dia kembali pulih sepenuhnya. Ada risiko-risiko lain lagi yang perlu ditanggung," katanya.

Menurut Norashikin, sebelum ditimpa kemalangan itu, suaminya bekerja sebagai buruh kampung.

"Banyak kerja-kerja kampung yang dia buat sebelum ini seperti ambil ubah memotong sawit dan menebas di dalam ladang kelapa sawit di bawah koperasi kampung berkenaan.

"Sebelum ini saya kerja sama-sama dengan dia. Waktu tu rasanya tak ada masalah untuk bergerak ke sana sini, namun saya tak sangka dia ditimpa kemalangan yang terus merubah kehidupan kami sekeluarga," katanya yang memiliki sorang cahaya mata, Puteri Nor Ellysha Balqis, 13.

Ujian yang ditanggung Norashikin sekeluarga mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera yang meluangkan masa melawat keluarga itu pada Selasa lalu.

Mereka yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi talian 019-5206184 (Norashikin) atau akaun menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Norashikin (1111441000107617).