Jenazah suami isteri maut ditikam dikebumi dalam satu liang lahad

Waris keluarga mangsa ketika sedang menguruskan jenazah di Jabatan Patologi Forensik, PPUM pada Ahad.
Waris keluarga mangsa ketika sedang menguruskan jenazah di Jabatan Patologi Forensik, PPUM pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah pasangan suami isteri yang ditemui maut dibunuh anaknya pada Sabtu akan dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala.

Salah seorang waris keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama waris-waris keluarga yang lain.

Menurutnya, jenazah pasangan warga itu akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala.

"Selepas itu, kedua-dua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala selepas waktu Isyak hari ini," katanya.

Menurut waris keluarga, mangsa merupakan mantan imam masjid dan juga pengerusi pertama tabung khairat Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah.

Sebelum itu, pasangan suami isteri itu maut ditikam anak kandungnya di rumah mereka dipercayai selepas berlaku pertengkaran.

Mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Susulan kejadian itu, suspek melarikan diri di kawasan hutan berhampiran rumah mereka sebelum gerakan mencari suspek giat dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Artikel Berkaitan:

Suspek berjaya ditangkap pada jam 10.30 malam di bawah terowong Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.