Sabri Yunus, Angeline Tan kini sah suami isteri

Sabri dan Angeline selamat bergelar suami isteri pada Sabtu dalam sebuah majlis di Perlis. Foto - Instagram @Isseyfazlisham
Sabri dan Angeline selamat bergelar suami isteri pada Sabtu dalam sebuah majlis di Perlis. Foto - Instagram @Isseyfazlisham
A
A
A

PELAKON veteran yang terkenal dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus dan Angeline Tan kini selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis di Perlis pada Sabtu.

Pasangan itu telah dinikahkan oleh Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Berita penyatuan dua hati antara ‘Wan Golok dan Lucy’ itu telah dimaklumkan oleh pelakon, pelawak dan penyampai radio, Issey menerusi satu hantaran di laman sosial, Instagram.

Menerusi hantaran berkenaan ia turut disertai dengan dua keping gambar yang memaparkan Sabri dan Angeline mengenakan persalinan berwarna putih.

“Selamat pengantin baru Abang Sabri Yunus dan kak Ardini/Angeline Tan. Alhamdulillah.

“Kami sangat gembira. Semoga cinta Wan Ismail Golok dan Lucy kekal sampai ke Syurga. Pi Mai Pi Mai Tang Tu,” tulis Issey.

Hantaran berkenaan turut mendapat perhatian Shuib Sepahtu, Abby Abadi, Azad Jasmin, Nad Zainal dan Sharif Zero yang turut mengucapkan tahniah di atas pernikahan itu.

Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu mulai bersiaran pada tahun 1983 yang menceritakan tentang kehidupan penduduk di sebuah rumah Flat Seri Wangi dan menjadi rancangan komedi paling popular ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi sitkom berkenaan, Sabri memegang watak sebagai Wan Ismail Golok yang berperanan sebagai penyiasat persendirian manakala Angeline sebagai Lucy iaitu pengusaha salun rambut.