Jangan sebar maklumat palsu babitkan sensitiviti masyarakat

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diseru agar tidak menyebarkan maklumat palsu terutamanya yang menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa, berhubung insiden kediaman Ahli Palimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dibaling dengan molotov cocktail awal pagi Rabu.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sementara menunggu siasatan lanjut dan tindakan undang-undang diambil, masyarakat juga diminta supaya tidak terpengaruh dengan peristiwa itu dan dimohon untuk terus mengukuhkan keamanan, ketahanan komuniti serta keselamatan secara bersama.

"Saya dengan tegas mengutuk perbuatan dan tindakan ini. Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi juga mengancam ketenteraman dan keamanan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, insiden berkenaan merupakan satu penghinaan terhadap semangat perpaduan dan keharmonian yang telah dibina sejak kemerdekaan selain menegaskan usaha mengukuhkan dan menyatupadukan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan.

"Saya percaya bahawa solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian negara.

"Keamanan negara dan perpaduan rakyat adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh kita semua,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta agar polis diberikan ruang untuk menjalankan siasatan serta mengenal pasti motif dan mengesan suspek insiden berkenaan.

Kejadian berkenaan yang telah memusnahkan tiga kenderaan milik Ngeh dipercayai dilakukan susulan kenyataannya sebelum ini yang mencadangkan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun telah tampil memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya daripada masyarakat Islam. - Bernama