[VIDEO] 'Aga Legap' ganggu penduduk dipindahkan

A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seekor gajah liar yang dilaporkan mengganggu penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Legap dekat Lintang di sini sejak sebulan lalu berjaya dipindahkan ke habitat asalnya.

Gajah jantan berusia 11 hingga 12 tahun yang dianggarkan seberat 1.8 tan dipercayai disisih dari kumpulannya sebelum ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Khamis lalu.

Khidmat gajah denak, Abot dan Rambai diperlukan untuk memujuk Aga Legap sebelum dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Gerik.
Khidmat gajah denak, Abot dan Rambai diperlukan untuk memujuk Aga Legap sebelum dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Gerik.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, gajah yang diberi nama Aga Legap yang dalam bahasa suku Temiar bermaksud abang Legap dilaporkan mula menghampiri dan memusnahkan tanaman milik penduduk kampung.

"Gajah ini membuat gangguan sejak Disember lepas dan operasi tangkapan mengambil masa lama berikutan pihak kita menerima banyak aduan berkaitan harimau belang.

"Mamalia ini dilaporkan mengganggu kebun dan menimbulkan ketakutan kepada penduduk pada sebelah malam. Tindakan awal diambil dengan menghalaunya ke hutan simpan berhampiran," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Yusoff
Yusoff

Menurut beliau, Aga Legap merupakan salah seekor kumpulan gajah (ID) yang dikesan di Hutan Simpan Piah berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan ID Piah ini mempunyai antara 12 hingga 15 ekor gajah yang dilaporkan menghampiri penempatan penduduk khususnya di Pos Perwor dan Lintang.

"Aduan lebih tinggi dilaporkan di sebelah Gerik. Kita bagaimanapun sentiasa membuat kawalan dan bertindak menghalau gajah liar ini kembali ke hutan simpan sebelum tangkapan dilakukan mengikut kesesuaian," katanya.

Yusoff berkata, operasi pindah Aga Legap mengambil masa lebih lima jam melibatkan 29 kakitangan daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang serta Perhilitan Perak bersama dua gajah denak, Abot dan Rambai.

Tambah beliau, Aga Legap akan dilepaskan ke Hutan Simpan Belum.

Operasi memindahkan Aga Legap melibatkan 29 kakitangan Perhilitan Perak dan PKGK, Kuala Gandah, Pahang.
Operasi memindahkan Aga Legap melibatkan 29 kakitangan Perhilitan Perak dan PKGK, Kuala Gandah, Pahang.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, tiada aduan baharu diterima berkaitan harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Kenering dekat Lenggong.

"Langkah awal telah diambil dengan memasang perangkap. Dakwaan mengatakan harimau itu sudah sebulan berkeliaran adalah tidak berasas.

"Berikutan tiada aduan baharu, kita berharap haiwan pemangsa berkenaan sudah kembali ke Hutan Simpan Papulut yang terletak satu kilometer sahaja dari kawasan itu," katanya.

Jelas beliau, faktor harimau belang meninggalkan habitat asalnya adalah disebabkan kekurangan sumber makanan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan hidupan liar.