Ancaman harimau: MAIK hantar bakul makanan kepada penduduk Orang Asli

Mohamad Rizam (kiri) melihat bakul makanan yang dihantar ke Pos Bihai dan Belatim, Gua Musang.
Mohamad Rizam (kiri) melihat bakul makanan yang dihantar ke Pos Bihai dan Belatim, Gua Musang.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melancarkan misi menghantar makanan bagi membantu penduduk Orang Asli di Pos Bihai dan Belatim, Gua musang yang terjejas selepas berdepan gangguan harimau.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan berjumlah RM73,350 itu dapat membantu mengurangkan beban mereka kerana tidak dapat keluar bekerja.

Menurut beliau, kejadian itu turut menyebabkan penduduk bimbang untuk keluar mengusahakan ladang kerana difahamkan haiwan itu masih berkeliaran di situ.

"Setakat ini, seramai 304 ketua isi rumah di Pos Bihai dan dan 185 di Pos Belatim akan menerima bantuan yang dihantar.

"Dalam tempoh genting ini juga, MAIK menghantar bakul makanan dan keperluan harian seperti gula, beras, bihun dan gandum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Bakul Makanan Kepada Orang Asli di Pos Bihai dan Belatim di sini pada Selasa.

Mohamad Rizam berkata, MAIK akan sentiasa memastikan Orang Asli di negeri ini mendapat perhatian dan berusaha memenuhi keperluan mereka.

Tambah beliau, MAIK menerima permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan pada 28 Ogos lalu berkaitan bakul makanan bagi membantu penduduk terjejas.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan seekor harimau belang jantan yang menjadi ancaman penduduk sekitar kampung Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

Harimau belang yang digelar Apek Bihai itu dianggarkan berusia dua tahun.

Sementara itu, Pengarah Jakoa, Zarina Razlan berkata, bantuan MAIK membolehkan Orang Asli terbabit meneruskan kehidupan kerana tidak dapat bekerja.

"Saya difahamkan sudah seminggu Perhilitan berkampung di sana. Masih ada lagi harimau yang belum masuk perangkap selepas salah seekor daripadanya berjaya ditangkap Perhilitan," katanya.