Pembalakan didakwa jejas sumber air penduduk Orang Asli

Ciapan Shahar Koyok.
Ciapan Shahar Koyok.
A
A
A

NILAI - Seniman dan aktivis Orang Asli, Shahar Koyok mendakwa aktiviti pembalakan di Kampung Orang Asli Sungai Mahang di sini telah memberi kesan kepada sumber air penduduk di situ.

Isu tersebut dikongsi beliau di laman aplikasi X miliknya dan turut disertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan di lokasi.

Menerusi ciapannya, beliau berkata, penduduk di kampung terbabit bimbang kesan aktiviti tersebut terhadap sumber air yang mereka gunakan untuk minum dan mencuci.

"Jadi, adakah pihak berkuasa negeri sanggup melakukan apa saja atas nama pembangunan?," tulisnya.

Sementara itu penduduk Orang Asli Sungai Mahang, Panjang Pandak Tah, 66, ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan dakwaan terbabit dan memberitahu aktiviti tersebut dikesan mula menjejaskan sumber air di kampung mereka sejak Ogos lalu.

Menurutnya, keadaan menjadi bertambah teruk jika hujan lebat menyebabkan sumber air di situ menjadi keruh dan berlumpur.

"Ada ketikanya seperti 'air teh tarik'. Jadi kami terpaksa beli air mineral untuk kegunaan seharian sementara menunggu air itu jernih semula.

"Selagi ada aktiviti pembalakan di situ, selagi itulah sumber air kami akan tercemar dan saya bimbang jika dibiarkan ia akan turut memberi kesan kepada kampung Orang Asli lain di kawasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu beliau berharap ada tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, satu sidang media turut diatur pada Khamis ini bagi membantah aktiviti pembalakan di situ diteruskan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar memaklumkan kepada Sinar Harian akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.