Jangan lupa daftar PADU, kemas kini maklumat individu, isi rumah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan PADU di PICC pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan PADU di PICC pada Selasa.
A
A
A

RAKYAT Malaysia diingatkan untuk segera mendaftarkan diri dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan mengemas kini maklumat individu serta isi rumah bermula 2 Januari hingga 31 Mac depan.

Menerusi sistem berkenaan, individu dikehendaki untuk melakukan semakan data dengan mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Ia penting bagi kerajaan mendapat maklumat tepat mengenai keadaan sosioekonomi setiap keluarga kerana maklumat nama dan tempat tinggal sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi sasaran sistem bantuan sosial.

Usaha tersebut dilihat bakal memberikan perubahan besar terhadap perkhidmatan kerajaan ke arah yang lebih baik dan cekap untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada jam 12.15 tengah hari Selasa.

Menurut Kementerian Ekonomi, pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan bagi memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Jelasnya, pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, PADU merupakan pangkalan data yang berintegrasi serta berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pihak beranggapan sistem tersebut merupakan pembaziran kerana ia didakwa melibatkan kontrak bernilai ratusan juta ringgit.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Rafizi Ramli menyangkal tuduhan itu dan menjelaskan bahawa ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) termasuk kerjasama pelbagai agensi lain.

Katanya, penjawat awam membangunkan PADU dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur tidak memerlukan tender baharu kepada pihak swasta.

Ujar Rafizi lagi, ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti sistem baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Justeru, menerusi pelaksanaan PADU ini diharapkan tiada lagi pihak tersisih daripada menerima bantuan terutamanya bagi golongan yang sangat memerlukan.