Guna AI dalam sistem PADU tingkat ciri keselamatan

Gulam Muszaffar
Gulam Muszaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem Aplikasi Pangkalan Data Utama (PADU) memerlukan penambahbaikan termasuk mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya bagi memantapkan lagi ciri keselamatannya.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, langkah itu dapat memastikan segala bentuk kemungkinan pencerobohan data atau penyalahgunaan sistem dapat dielakkan.

Menurut beliau, kebanyakan sistem termasuk PADU atau apa-apa aplikasi berada di pasaran dikawal menggunakan 'password' (kata kekunci) yang akan digunakan untuk mengakses atau daftar masuk sistem.

"Namun, ia kelompongan yang boleh membuka tirai penyalahgunaan sistem terutama kalangan warganegara yang bukan celik teknologi maklumat (IT) atau 'IT savvy', orang kurang upaya (OKU), warga emas dan lain-lain boleh mengakibatkan pencerobohan data berlaku," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Gulam Muszaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu memberitahu, isu penyalahgunaan sistem sangat berbahaya jika tidak disekat dan dikhuatiri menyebabkan pencerobohan data.

"Lihat saja permohonan dan pembaharuan pasport, wujud terlalu ramai ejen atau ulat yang menguruskannya dengan bayaran tambahan dikenakan.

"Ini membuka pintu kepada kebanjiran 'scammer', penjualan atau penyalahgunaan data yang amat merugikan rakyat serta menyebabkan bilion ringgit lesap," ujar beliau.

Katanya, kerisauan dan senario itu perlu diambil kira secara serius dan ia dari satu sudut mungkin baik, tetapi dari sudut lain ia membahayakan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kerajaan menegaskan tiada pihak ketiga atau lantikan mana-mana ejen untuk hal ini, saya percaya masalah ini pasti wujud kerana ia semua membabitkan 'dolar (ringgit) dan sen yang akan memberi keuntungan kepada segelintir pihak," tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, melancarkan Sistem PADU iaitu pangkalan data sosioekonomi yang menggabungkan maklumat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bertujuan mengelakkan keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan.

Sistem itu dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.