Koo Ham patut lebih faham - AMK Perak

ASHRAF
ASHRAF
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menggesa semua pihak menghentikan sebarang kenyataan mencetuskan polemik yang menimbulkan kegusaran awam terutama dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Timbalan Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani berkata, pihaknya maklum berkaitan isu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung cadangan orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam.

"AMK Perak juga yakin bahawa kenyataan yang dibuat oleh Koo Ham ini bukan merupakan pendirian Pakatan Harapan Negeri Perak tetapi hanya kenyataan peribadi yang ingin ‘menjentik’ isu sensitif khususnya perkara berkaitan agama Islam. Seharusnya sebagai seorang Ahli Parlimen, Koo Ham patut lebih faham tentang perkara ini.

"Justeru, AMK Perak menyarankan agar semua pihak mendukung saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan agar dihormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ashraf berkata, umat Islam di negara masih bertenang dan tidak mengikut emosi serta matang dalam menilai isu berkenaan.

Jelasnya, Malaysia sememangnya terkenal sebagai negara yang mengamal toleransi antara pelbagai kaum jika dibandingkan dengan negara-negara Islam yang lain.

Malah katanya, perkara itu dibuktikan melalui kenyataan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa, sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru semua pihak agar sentiasa menyuburkan toleransi beragama yang menjadi asas perpaduan Malaysia kerana negara memerlukan naratif yang menyatu bukan memisahkan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar undang-undang dalam kalangan orang bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Koo Ham berkata, ia perlu setelah mendapati tiada orang bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa tersebut untuk mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan undang-undang yang memberi kesan kepada kaum dan agama dibuat.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan kenyataan itu merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa khas itu.