'Koo Ham perlu minta maaf, tarik cadangan mengarut' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal, Koo Ham
Wan Ahmad Fayhsal, Koo Ham
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham diminta menarik semula kenyataannya mengenai cadangan untuk melibatkan pakar perlembagaan bukan Islam ke dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan dibuat Koo Ham itu disifatkan sebagai melampau dan tidak celik perlembagaan.

Menurutnya, sebagai seorang ahli Parlimen, Koo Ham sepatutnya tahu bahawa urusan berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu.

“Undang-undang Syariah perlu dirunding, diurus, ditadbir dan dikuatkuasakan oleh orang Islam semata-mata, ia sama sekali tidak menyentuh orang bukan Islam.

“Cadangan Koo Ham boleh menimbulkan kegusaran awam khususnya dalam kalangan umat Islam kerana keterlibatan bukan Islam untuk mengkaji kompetensi DUN boleh dilihat sebagai satu permulaan campur tangan terhadap urusan agama Islam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Koo Ham yang turut menjelaskan bahawa langkah tersebut bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan dalam undang-undang dibuat.

Wan Fayhsal memaklumkan, sekiranya Koo Ham betul-betul bimbang mengenai kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam, maka beliau boleh mencadangkan pakar-pakar perlembagaan dalam golongan beragama Islam.

“Persoalannya, mengapa Koo Ham perlu mencadangkan pakar perlembagaan bukan Islam untuk menyertai jawatankuasa ini?

Artikel Berkaitan:

“Jawatankuasa ini sudah pun mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan telah pun memulakan tugas mereka.

“Apakah beliau (Koo Ham) sedar bahawa cadangannya boleh menimbulkan kebimbangan? Tarik semula cadangan karut ini dan memohon maaf secara terbuka,” ujar Wan Ahmad Fayhsal lagi.