'Undang-undang syariah hanya terpakai untuk orang Islam' - Dr Akmal

Dr Akmal
Dr Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar cadangan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Beruas itu tidak wajar, Muhamad Akmal berkata, tindakan itu memperlihatkan Koo Ham, tidak memahami sensitiviti orang Islam di negara ini.

"Undang-undang syariah adalah terpakai untuk orang Islam sahaja,maka tidak perlu dan tidak ada keperluan atas cadangan dari Ngeh Koo Ham ini.

"Maka pemimpin seperti ini lah yang menjadi duri di dalam daging bagi Kerajaan Perpaduan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Susulan itu, Akmal menggesa supaya pemimpin DAP saling menjaga sensitiviti demi keutuhan di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Anthony Loke Siew Fook ( Setiausaha Agung DAP) pilih sama ada mahu melindungi pemimpin seperti ini atau pun mahu memelihara hubungan sesama parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Jika mahu menjaga pemimpin seperti ini, maka kita boleh lupakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan. Cukup-cukuplah!," katanya.

Terdahulu Koo Ham, menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.