Jangan leka, jenayah penipuan kewangan masih berleluasa

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelbagai pendekatan dan peringatan dilaksanakan, baik oleh pihak berkuasa ataupun institusi perbankan, namun jenayah penipuan kewangan dalam talian di negara ini masih menunjukkan trend peningkatan.

Mangsa pula daripada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan profesional dan ahli perniagaan berjaya. Semuanya tidak terlepas daripada diperdaya, sama ada dikatakan terbabit dalam kegiatan haram ataupun digoda dengan pelaburan yang kononnya membawa pulangan lumayan.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kes jenayah penipuan kewangan meningkat sebanyak 37 peratus kepada 32,366 kes dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan 23,608 kes.

Polis percaya angka sebenar mangsa dan jumlah kerugian adalah lebih besar kerana ramai yang didapati tidak tampil melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa atas pelbagai faktor, termasuk berasa malu kerana melibatkan status sosial dan kerjaya mereka.

Hal ini disokong oleh kaji selidik firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia yang pada 19 Dis lalu mendedahkan tidak sampai 50 peratus mangsa penipuan di negara ini mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, dengan sebahagian kecil pula memilih berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.

Hakikatnya, jenayah itu bukan sahaja memberikan impak kepada mangsa tetapi turut meninggalkan kesan ke atas negara, yang menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, jenayah tersebut, secara terancang, boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan.

Mengambil kira situasi semasa, pakar berpandangan akta yang berkaitan perlu dipinda, khususnya dari segi hukuman, kerana kata mereka, setakat ini belum ada usaha bersungguh ke arah itu.

Pada masa sama, mereka juga menggesa agar usaha meningkatkan kesedaran masyarakat diperhebat.

Artikel Berkaitan:

Sindiket ini turut memanfaatkan aplikasi mudah alih sebagai modus operandi mereka, termasuk menyamar sebagai agensi pihak berkuasa seperti polis. Gambar hiasan
Sindiket ini turut memanfaatkan aplikasi mudah alih sebagai modus operandi mereka, termasuk menyamar sebagai agensi pihak berkuasa seperti polis. Gambar hiasan

KURANG PENGETAHUAN

Menurut Ts Syahrul Nizam Junaini, pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak, kebanyakan pengguna siber kurang pengetahuan dalam mengenal pasti laman sesawang yang sahih dan palsu, sekali gus merisikokan mereka kepada penipuan.

"Satu kajian sebelum ini mendapati 78.5 peratus daripada penduduk Malaysia merupakan pengguna aktif media sosial. Peningkatan akses kepada media sosial membuatkan lebih banyak traksaksi kewangan dilakukan secara dalam talian.

"Situasi ini membuka peluang lebih tinggi kepada penjenayah untuk memerangkap pengguna laman sesawang dan aplikasi perbankan dalam talian selain e-dompet dan platform e-dagang, khususnya tanpa langkah keselamatan oleh pengguna,’’ katanya.

Jelas Syahrul Nizam, ancaman jenayah siber tidak akan dapat ditangkis jika infrastruktur keselamatan siber tidak cukup kuat, yang membuka ruang kepada penipu untuk mengeksploitasi kelompongan yang ada pada struktur itu.

"Kita akui jenayah ini mula tertumpu pada aplikasi WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas kerana aplikasi terbabit digunakan hampir di seluruh dunia dan jutaan orang di Malaysia aktif menggunakannya.

kepelbagaian aplikasi yang dibangunkan seiring kecanggihan teknologi digital turut membuka peluang kepada penipu dalam talian menjerat mangsa. Gambar hiasan. Foto 123RF
kepelbagaian aplikasi yang dibangunkan seiring kecanggihan teknologi digital turut membuka peluang kepada penipu dalam talian menjerat mangsa. Gambar hiasan. Foto 123RF

"Penipu juga menggunakan aplikasi yang sama, jadi sukar untuk kita kesan sebab penipu juga mendaftar nombor telefon meskipun menggunakan akaun WhatsApp atau Telegram palsu,” katanya.

Menurut beliau, setiap hari masyarakat menerima 99 peratus maklumat sahih melalui WhatsApp, namun apabila satu peratus maklumat palsu berunsur penipuan itu muncul, ramai yang cenderung mempercayainya dan kemudian mengongsi maklumat palsu tersebut dengan rakan lain.

Ipsos Malaysia dalam tinjauannya, turut mendapati tiga perempat daripada penduduk Malaysia menjadi sasaran penipuan dan peningkatan dalam suku tahun terakhir menyerlahkan kelemahan itu apabila 76 peratus daripada 1,000 responden yang terlibat dalam kaji selidik tersebut menyatakan pernah terjerat.

Menurut Ipsos Malaysia lagi, sebanyak 51 peratus responden melaporkan mereka berdepan penipuan tiga bulan lepas, 26 peratus berdepan penipuan sebulan yang lalu dan 14 peratus berdepan penipuan seminggu lepas.

JANGAN MALU BUAT ADUAN

Justeru, Syahrul Nizam menyeru ahli masyarakat yang menjadi mangsa penipuan kewangan agar tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata berdepan dengan stigma, malu dan sukar untuk mempercayai diri telah ditipu, merupakan batu penghalang bagi mangsa untuk membuat laporan.

Dalam perinciannya, Ipsos Malaysia menyatakan hanya 48 peratus daripada 657 responden yang menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian kewangan atau hampir menjadi mangsa penipuan tetapi menyedarinya sebelum sebarang kerugian kewangan berlaku, melaporkan insiden kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun 12 peratus tidak mengambil sebarang tindakan.

"Selain itu, mangsa mungkin tidak tahu tentang prosedur membuat laporan dan kurangnya kesedaran tentang aspek tersebut membuatkan mangsa teragak-agak atau berasa prosedurnya rumit sehingga akhirnya langsung tidak membuat laporan.

"Jangan berdiam diri, mangsa hanya perlu pergi ke agensi berkaitan di kawasan masing-masing termasuk balai polis dan juga bank mereka. Jika tidak ada laporan, bagaimana pihak berkuasa mahu membuat siasatan,?” soal beliau.

Katanya ini kerana setiap laporan yang diterima akan diselaraskan dengan pihak berkuasa lain termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

KECANGGIHAN TEKNOLOGI

Bagi pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Azuan Ahmad, beliau berkata, kepelbagaian aplikasi yang dibangunkan seiring kecanggihan teknologi digital turut membuka peluang kepada penipu dalam talian menjerat mangsa.

Kewujudan pelbagai aplikasi yang senang dimuat turun ini sebenarnya berpotensi menjadi pintu gerbang kepada penjenayah untuk mengakses maklumat peribadi termasuk kewangan mangsa, ujarnya.

"Apabila lebih terdedah kepada dunia siber, secara tidak langsung lebih banyak data peribadi kita berada di alam siber, dan sekiranya keselamatan data itu tidak dititikberatkan, hal ini akan mendedahkan pengguna kepada risiko kecurian dan kebocoran data.

"Ini membolehkan scammer kewangan mengakses maklumat mangsa dengan menjadikannya modal untuk memancing kepercayaan mangsa sehingga akhirnya mereka terjerat,” tambah beliau.

Selain itu, Azuan berkata, sejak belakangan ini, kumpulan penipu ini turut memanfaatkan aplikasi mudah alih sebagai modus operandi mereka, termasuk menyamar sebagai agensi pihak berkuasa seperti polis.

"Contohnya, hanya dengan mengetahui nama penuh mangsa, penjenayah dapat mengesan maklumat peribadi lain seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor pendaftaran kereta, dan adanya maklumat tambahan ini membuatkan mangsa lebih mudah terpedaya sebab yakin mereka adalah daripada pihak boleh dipercayai.

"Terdapat juga scammer membangunkan pelbagai aplikasi palsu yang apabila dimuat turun atau diklik oleh pengguna, membolehkan penipu mengakses aplikasi perbankan mangsa. Ada juga yang menggunakan logo bank seakan bank sebenar bagi meyakinkan mangsa mereka adalah institusi sah,” katanya.

MUDAH TERPEDAYA

Mengulas lanjut, Azuan berkata, sikap manusia yang mudah dieksploitasi, cepat panik dan kurang pengetahuan tentang dunia digital dan siber, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian di negara ini.

Penjenayah juga bijak dalam memanipulasi psikologi mangsa sehingga si mangsa percaya sepenuhnya apa juga yang dinyatakan oleh penipu, katanya.

"Mangsa yang mudah panik dan percaya akan mendedahkan butiran kewangan mereka termasuk maklumat perbankan kepada scammer yang akhirnya menjerat diri mereka,” kata beliau, menambah, disebabkan oleh kurang kecaknaan akan ancaman siber ini, masyarakat akan terus terdedah kepada jenayah itu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pihak berkepentingan meningkatkan kempen kesedaran selain sentiasa menyebar luas modus operandi terkini penipu dalam talian berkenaan.

Beliau juga mengesyorkan pengguna telefon pintar memuat turun aplikasi yang dapat menyaring pemanggil seperti Whoscall dan Truecaller, bagi melindungi diri mereka daripada jerat sindiket penipuan.

PUSAT RESPONS SCAM

Beliau juga melihat NSRC yang diwujudkan pada tahun lepas sebagai platform terbaik dalam mengekang serta menangani kes penipuan siber dengan lebih menyeluruh dan bersepadu.

Katanya ini kerana pusat itu menghubungkan sumber dan kepakaran jenayah termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, SKMM, institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi negara.

"Selain menyebarkan kesedaran berkaitan jenayah ini kepada masyarakat, NSRC menerusi agensi terlibat, giat melakukan pengesanan keldai akaun yang digunakan sebagai medium transaksi wang oleh penjenayah penipuan.

"Sebagai pusat respons setempat berkaitan jenayah scam, NSRC juga diakui bertindak pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian termasuk mengesan dana yang dicuri dengan lebih cepat, sekali gus dapat mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah terbabit,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada Oktober 2022 hingga 30 Nov 2023, NSRC merekodkan kes dengan jumlah kerugian RM173 juta, dan daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat daripada jatuh ke tangan penjenayah ialah sebanyak RM33 juta.- Bernama