Kok Wai cadang pilihan raya PBT dimulakan di Kuala Lumpur

Tan Kok Wai
Tan Kok Wai
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya itu.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

“Kita tidak perlu untuk terus melaksanakan pilihan raya tempatan di seluruh negara, tetapi kita boleh mula di Kuala Lumpur yang sangat-sangat memerlukan demokrasi dalam proses merakyatkan sistem pentadbiran ibu negara kita ini.

“Dengan pelaksanaan pilihan raya PBT sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih, dan kerajaan berorientasikan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bertaraf dunia yang kita semua banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahun Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2023 di sini pada Ahad.

Difahamkan, pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an dan kemudian diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana datuk bandar majlis tempatan dan yang dipertua majlis, termasuk ahli majlis dilantik kerajaan negeri.

Jelasnya, sebagai sebuah parti yang berpegang kepada perjuangan dan idealisme yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dan akauntabiliti, adalah penting untuk DAP terus berusaha ke arah merealisasikan matlamat pelaksanaan demokrasi tempatan.

“Selama ini pendirian DAP Wilayah Persekutuan telah secara konsisten supaya Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan untuk mengatasi masalah campur tangan politik dalam hal ehwal pentadbiran ibu kota yang berlaku dalam pentadbiran-pentadbiran terdahulu.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah untuk mengelakkan pertindihan tanggungjawab dan kuasa yang telah membawa kepada pembaziran wang rakyat serta pelbagai penyelewengan merugikan rakyat,” katanya.

Kok Wai berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan dan portfolio berkenaan dimasukkan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Kita dalam DAP Wilayah Persekutuan menyokong penuh langkah ini kerana tindakan ini semestinya mempunyai meritnya.

“Namun pada hari ini, situasinya sudah berubah sedikit di mana portfolio hal ehwal pentadbiran Wilayah Persekutuan kini diletakkan di Jabatan Perdana Menteri, di bawah seorang menteri baharu. Baik sama ada dengan di bawah kawalan secara terus oleh Perdana Menteri, atau dengan kawalan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri

“Saya harap cita-cita untuk memperkasakan rakyat dengan mengembalikan pilihan raya tempatan yang telah menjadi matlamat perjuangan parti menjadi realiti sedikit masa lagi,” ujarnya.