Bekas Adun Tahan meninggal dunia

A
A

KUANTAN - Bekas Adun Tahan, Datuk Ahmad Jaafar, yang juga Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, meninggal dunia awal pagi ini.

Rakan sejawatannya, Datuk Zailaludin Zainal berkata, mangsa ditemui meninggal dunia di bilik penginapannya di sebuah homestay di Sungai Koyan, Lipis oleh Setiausaha Politik Menteri Besar ketika cuba mengejutkan mangsa untuk solat Subuh.

"Difahamkan selepas pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, beliau telah masuk ke bilik di Homestay Sungai Koyan kira-kira pukul 2.00 pagi.

"Namun ketika hendak dikejutkan untuk menunaikan solat Subuh, Allahyarham didapati telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, punca sebenar Allahyarham meninggal dunia masih belum dapat dipastikan dan mayat telah dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat.

Katanya, jenazah selepas itu akan dibawa pulang dan dijangka dikebumikan selepas Zohor di kampungnya Bukit Genting, Jerantut.

Ahmad Jaafar pernah berkhidmat sebagai Adun Tahan selepas memenangi PRU pada 2004. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia