Rakyat Malaysia sumbang dana bina sekolah di Yemen

Dr Ali Al-Albab (dua dari kiri), Dr Mohd Zin (dua dari kanan) dan Mas Imran (kanan) meletakkan batu asas sebagai simbolik perasmian Sekolah Malaysia di Kem Pelarian Al-Jufainah di Marib, Yemen pada Selasa.

A
A
A

MARIB (Yemen) - Sekolah Malaysia Econsave-MyCARE dengan kos RM1 juta sumbangan rakyat Malaysia akan dibina di Kem Pelarian Al-Jufainah di bandar ini pada tahun hadapan bagi membantu anak-anak mangsa perang Yemen yang keciciran dalam pendidikan kembali ke sekolah.

Upacara pecah tanah sekolah berkenaan yang merupakan usaha Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave (Econsave) disempurnakan dalam kawasan kem pelarian paling ramai serta terbesar di Yemen dan timur tengah itu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Yemen, Dr Ali Al-Albab; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani menyempurnakan upacara peletakan batu asas sekolah berkenaan.

MyCARE dan Econsave menyerahkan bantuan persekolahan kepada sebuah sekolah dalam kawasan Kem Pelarian Al-Jufainah di Marib, Yemen pada Selasa.
MyCARE dan Econsave menyerahkan bantuan persekolahan kepada sebuah sekolah dalam kawasan Kem Pelarian Al-Jufainah di Marib, Yemen pada Selasa.

Mas Imran berkata, pembinaan sekolah rendah tersebut akan mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan yang akan turut dilengkapi dengan kemudahan asas.

"Sekolah ini akan mempunyai dua sesi pelajaran dengan enam bilik darjah yang mampu menempatkan 400 murid untuk permulaan," katanya ditemui pemberita selepas upacara pecah tanah tersebut.

Sekolah berkenaan merupakan yang ketiga selepas di Syria yang beroperasi pada November lalu dan di Palestin dibuka pada 2018 hasil sumbangan rakyat Malaysia dikendalikan MyCARE dan Econsave.

Dr Mohd Zin (kanan) dan Mas Imran (dua dari kanan) menyerahkan wang bantuan kecemasan AS$300 kepada pihak pengurusan Clinic of Society di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Selasa.
Dr Mohd Zin (kanan) dan Mas Imran (dua dari kanan) menyerahkan wang bantuan kecemasan AS$300 kepada pihak pengurusan Clinic of Society di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

MyCARE dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave yang bermula dari 18 sehingga 30 Disember di Syria dan Yemen.

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata, pihaknya bercadang menambah jumlah sekolah pada masa depan dan MyCARE dengan Kementerian Pelajaran Yemen serta rakan pelaksana iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Human Acces akan bekerjasama mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.

"Kita akan bincang sekolah yang akan didirikan itu untuk sekolah menengah atau rendah, kita akan lihat keperluan termasuk daripada segi jumlah pelajar temasuk perempuan," katanya yang juga Penasihat MyCARE Johor.

Dr Ali pula berkata, ketika ini terdapat 78 buah sekolah di daerah ini dan jumlah tersebut tidak cukup kerana bilangan murid semakin bertambah dan memerlukan pendidikan.

"Sebelum perang tercetus terdapat 68,000 pelajar di Marib, namun apabila perang tercetus terdapat 138,000 kanak-kanak yang memerlukan pendidikan.

Dr Mohd Zin dan Mas Imran (tengah) menyerahkan wang sumbangan AS$1,000 kepada pusat tahfiz Association of Goodness for Teaching Al-Quran di Marib, Yemen pada Selasa.
Dr Mohd Zin dan Mas Imran (tengah) menyerahkan wang sumbangan AS$1,000 kepada pusat tahfiz Association of Goodness for Teaching Al-Quran di Marib, Yemen pada Selasa.

"Terima kasih kepada MyCARE dan Econsave kerana menyediakan kemudahan sekolah ini membantu kanak-kanak di sini dalam bidang pendidikan yang amat penting untuk membina masa depan Yemen," ujarnya yang juga Ketua Pengarah Pelajaran Marib.

Pihak MyCARE dan Econsave kemudian melawat Association Of Goodness for Teaching Al-Quran iaitu sebuah pusat tahfiz di bandar ini dan menyumbang AS$300 (RM1,385.25) untuk kegunaan mereka.

MyCARE dan Econsave juga menyumbangkan AS$1,000 (RM4,617.50) semasa melawat Clinic of Society berhampiran kem pelarian terbabit.

Sumbangan tersebut bagi membeli peralatan dan kemudahan di klinik itu yang dibina daripada kontena, tidak cukup peralatan dan penuh sesak dengan pesakit daripada kalangan mangsa perang dari kem-kem pelarian berdekatan.