MyCARE, Econsave mulakan misi kemanusiaan di Syria, Yemen

Dr Mohd Zin (dua dari kanan), Mas Imran (tiga dari kanan) dan peserta Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave di Syria dan Yemen merakam kenangan di Istanbul, Turkiye pada Isnin.
Dr Mohd Zin (dua dari kanan), Mas Imran (tiga dari kanan) dan peserta Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave di Syria dan Yemen merakam kenangan di Istanbul, Turkiye pada Isnin.
A
A
A

GAZIANTEP (Turkiye) - Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave (Econsave) pada Isnin memulakan Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave dari 18 sehingga 30 Disember ini di Syria dan Yemen.

Misi tersebut yang diketuai Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar disertai Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.

Secara keseluruhannya seramai 12 sukarelawan termasuk pengamal media terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut.

Dr Mohd Zin berkata, menerusi misi tersebut, pihak MyCARE dan Econsave akan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM1 juta melibatkan pelbagai bentuk bantuan terutama untuk pelarian di Syria dan Yemen.

"Kita akan memberikan bantuan makanan panas, makanan untuk keluarga, pakaian musim sejuk dan selimut selain membina 18 unit rumah baharu dengan kos RM15,000 untuk pelarian yang sudah lebih 10 tahun mendiami kem pelarian.

"Kita juga akan menyumbang pembelian 31 khemah baharu di kem pelarian di Yemen kerana khemah sedia ada yang diperbuat daripada kanvas dan kain telah koyak dan rosak," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Berapa lori menunggu giliran di sempadan Turkiye-Syria untuk memasuki Syria pada Selasa.
Berapa lori menunggu giliran di sempadan Turkiye-Syria untuk memasuki Syria pada Selasa.

Beliau berkata, turut diadakan program akikah di kem pelarian di Al-Bab, Syria selain merasmikan sebuah sekolah dalam kawasan kem pelarian di Al-Azaz, Syria untuk anak-anak pelarian di negara tersebut dengan kos RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan juga termasuk peralatan sekolah kepada murid daripada keluarga pelarian," ujarnya yang juga Penasihat MyCare Johor.

Selain itu, beliau berkata, misi tersebut juga akan memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang cedera dan dirawat di beberapa hospital di Bandar Raya Kaherah, semenanjung Sinai dan Bandar al-Arish di Mesir.

"Serangan ganas dan tidak berperikemanusiaan tentera rejim Israel ke atas penduduk awam dan kawasan perumahan khususnya kem-kem pelarian di Semenanjung Gaza mulai 7 Oktober 2023 sehingga ke hari ini telah menyebabkan lebih 18,700 jiwa terkorban termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan lebih 5,200 wanita.

"Lebih 50,800 orang cedera serta lebih 7,700 masih tidak dapat dikesan di bawah runtuhan bangunan. Sebahagian mangsa yang tercedera telah dihantar ke beberapa hospital di Mesir. Kita akan melawat dan beri bantuan kepada mereka di hospital di Kaherah," katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pelanggan Econsave yang memberi sumbangan menerusi tabung kemanusiaan tersebut yang dilancarkan sejak tahun lalu.

"Kita harap misi ini mencapai kejayaan dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan. Semoga kita akan terus membantu mereka yang memerlukan," ujar beliau.