'Kami akan berjuang menentang Houti sehingga titisan darah terakhir'

Abdul Ali Muhammad Hussin bersama keluarganya yang hidup dalam serba daif dan miskin di Kem Pelarian As-Salam, Marib, Yemen.
Abdul Ali Muhammad Hussin bersama keluarganya yang hidup dalam serba daif dan miskin di Kem Pelarian As-Salam, Marib, Yemen.
A
A
A

MARIB (Yemen) - Seorang pejuang di Kem Pelarian As-Salam di sini tidak akan tunduk malah nekad akan terus melawan tentera pemberontak Houti sehingga titisan darah terakhir sekali gus mengembalikan negara itu seperti sediakala.

Abdullah Muhammad Ahmad Al-Dabyani, 57, yang merupakan pelarian perang dan kini berlindung di kem pelarian tersebut sejak enam tahun lalu berkata, dia tidak akan menyerah kalah menentang rejim Houti di barat Yemen itu.

"Saya akan terus melawan (Houti) sehingga akhirnya salah seorang daripada kami (pejuang) terbunuh. Saya akan kembali ke Sanaa untuk membina semula negara kami.

"Saya pasti akan pulang semula ke kampung halaman kami, rumah-rumah kami, ladang-ladang kami," katanya yang terpaksa meninggalkan kehidupan selesa dengan dua rumah dan dua ladang pertanian di Sanaa kerana diancam untuk dibunuh oleh tentera Houti kerana enggan mengikut arahan mereka.

Abdullah Muhammad
Abdullah Muhammad

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan pek barang keperluan asas daripada Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave di Kem Pelarian As-Salam di sini pada Isnin.

Sumbangan 500 pek makanan itu disampaikan Ahli Lembaga Pemegang MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.

Abdullah yang mempunyai tiga anak berkata, penentangan terhadap Houti juga kerana rejim itu tidak mengikut ajaran Islam sebenar dan menindas rakyat dengan memperkenalkan pelbagai peraturan yang tidak masuk akal.

Artikel Berkaitan:

"Mereka memerintahkan kami membayar 20 peratus daripada pendapatan bulanan kami sedangkan kami telah membayar zakat mengikut perintah ALLAH. Kami tidak boleh menerimanya.

"Jika kami tidak akur perintah, Houti akan bunuh kami tanpa alasan, pengadilan dan penghakiman mahkamah. Kami terpaksa melarikan diri kerana tidak mahu ikut pemerintah yang tidak ikut perintah ALLAH," katanya

Mangsa perang wanita membawa beras dan tepung yang diterima daripada sumbangan MyCARE dan Econsave di Kem Pelarian As-Salam Marib, Yemen pada Isnin.
Mangsa perang wanita membawa beras dan tepung yang diterima daripada sumbangan MyCARE dan Econsave di Kem Pelarian As-Salam Marib, Yemen pada Isnin.

Seorang bekas tentera Yemen, Hasan, 30, putus kedua-dua belah kakinya terkena bom semasa mahu menyelamatkan rakannya yang cedera ditembak tentera pemberontak Houti dalam satu kejadian pada 2018.

Bapa kepada dua anak yang berasal dari Sanaa tidak berfikir panjang keadaan berbahaya pada masa itu malah tidak pernah menyangka tindakan nekad berkenaan akan mengubah perjalanan hidupnya selama-lamanya.

"Insiden ini membuatkan saya menjadi cacat dan tidak boleh lagi berjalan termasuk mencari nafkah untuk keluarga.

"Saya memakai kaki palsu sejak kaki saya kudung tetapi tidak pernah berputus asa untuk meneruskan hidup," katanya.

Hasan (tengah) yang memakai dua kaki palsu menerima sumbangan daripada Dr Mohd Zin (kanan) sambil diperhatikan Mas Imran (kiri) di Kem Pelarian As-Salam, Marib, Yemen pada Isnin.
Hasan (tengah) yang memakai dua kaki palsu menerima sumbangan daripada Dr Mohd Zin (kanan) sambil diperhatikan Mas Imran (kiri) di Kem Pelarian As-Salam, Marib, Yemen pada Isnin.

Rabia Mohammed Ahmad, 22, pula berkata, rumahnya di Senaa sudah musnah dibom tentera pemberontak Houti sebelum dia dan isteri bersama dua anaknya melarikan diri ke daerah ini serta berlindung di kem pelarian tersebut.

Menurutnya yang sudah lapan tahun berada di kem pelarian berkenaan, kehidupan begitu mencabar apabila tiada pekerjaan dan anak-anaknya juga tidak pergi ke sekolah.

"Sebahagian kami tinggal dalam khemah usang dan rumah yang dibina sementara dalam kem pelarian ini tanpa ada bumbung. Di sini tiada sekolah khusus untuk anak-anak pelarian belajar.

"Kos untuk menghantar anak ke sekolah amat tinggi dan kami tidak mampu, ini menjadikan anak-anak kami tidak ke sekolah. Kami juga tiada pakaian musim sejuk yang sedang melanda ketika ini," katanya.

Rabia Mohammed Ahmad
Rabia Mohammed Ahmad

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata, penderitaan kira-kira lima juta mangsa perang yang menjadi pelarian di Yemen akan dibawa ke peringkat antarabangsa agar lebih banyak bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke negara itu.

Beliau berkata, usaha itu akan dibawa pihaknya menerusi pelbagai kaedah dan jaringan antarabangsa kerana keadaan di Yemen lebih menderita berbanding negara lain yang pernah bergolak seperti di Syria.

Penasihat MyCARE Johor itu berkata, antara isu utama yang akan diketengahkan adalah pendidikan khusus buat kanak-kanak yang mendiami kem-kem pelarian di negara itu.

Dari kiri: Penolong Pengurus MyCARE Johor, Mohd Saadon Sulaiman, Rozi, Dr Mohd Zin dan Mas Imran menyerahkan bantuan kepada penerima di Kem Pelarian As-Salam, Marib, Yemen pada Isnin.
Dari kiri: Penolong Pengurus MyCARE Johor, Mohd Saadon Sulaiman, Rozi, Dr Mohd Zin dan Mas Imran menyerahkan bantuan kepada penerima di Kem Pelarian As-Salam, Marib, Yemen pada Isnin.

"Krisis kemanusiaan di Yemen adalah yang paling lebih teruk sekali dan jumlah pelariannya lebih ramai daripada di Syria. Mereka berada di negara sendiri dan terpinggir daripada bantuan luar," katanya.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, bilangan kem pelarian di negara ini lebih banyak berbanding di negara lain dan amat memerlukan khemah baharu yang lebih selesa dalam keadaan musim sejuk ketika ini.

"Selain itu untuk bantuan sementara, menerusi sumbangan hari ini kita berikan pek makanan antaranya mengandungi beras, gula, susu tepung dan minyak masak. Harap dapat meringankan beban mereka," ujar beliau.