Hampir 20 bayi mati akibat kesejukan di kem pelarian Syria setiap tahun

Dr Mohd Zin (kiri) dan Mas Imran mengikat batu sebuah rumah dalam pembinaan untuk pelarian di bandar Albab, Syria, pada Jumaat
Dr Mohd Zin (kiri) dan Mas Imran mengikat batu sebuah rumah dalam pembinaan untuk pelarian di bandar Albab, Syria, pada Jumaat
A
A
A
ALBAB (Syria) - Kira-kira 15 sehingga 20 bayi meninggal dunia di kem pelarian di seluruh Syria setiap tahun sepanjang musim sejuk.

Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Dr Mohd Zin Kandar berkata, bayi berkenaan maut kerana tidak dapat menahan kesejukan selepas tinggal dalam kemah yang serba daif serta tiada kemudahan alat pemanas badan.

"Keluarga pelarian ini hidup dalam keadaan miskin, bukan sahaja untuk makan malah ada juga hidup dalam khemah dengan dinding daripada kanvas dan kain yang disambung-sambung tetapi sudah koyak serta berlubang-lubang.

"Mereka ini ada yang sudah tinggal di kem-kem pelarian di Syria sejak 10 tahun lalu. Dianggarkan terdapat satu juta pelarian terdiri daripada mangsa perang ditempatkan di kem-kem pelarian di Syria sejak perang meletus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan 18 unit rumah yang sedang dibina di daerah ini pada Jumaat, hasil kutipan pihak MyCARE dan Econsave yang disumbangkan rakyat Malaysia.

Turut hadir Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Penasihat MyCare Johor dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.

MyCARE dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave yang bermula dari 18 sehingga 30 Disember ini di Syria dan Yemen.

Dr Mohd Zin memberitahu, daripada 18 unit tersebut, sebanyak 10 unit disumbangkan Dewan Perniagaan Cina (CCC) dengan kos RM300,000 untuk 10 unit manakala enam unit lagi dibiayai Majlis Agama Islam Perlis dan selebihnya daripada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pembinaan rumah tersebut dengan kerjasama Ataa Foundation, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini berjalan lancar dan dijangka siap serta boleh diduduki tahun depan.
Artikel Berkaitan:


"Saya seru lebih banyak persatuan atau majlis agama Islam menghulur sumbangan membina rumah untuk pelarian secara wakaf atau derma atau terus hubungi pihak kami," ujarnya .

Jelasnya, rumah berkenaan akan diduduki keluarga pelarian untuk tempoh masa tertentu dan apabila sudah boleh berdikari dan kehidupan mereka stabil, kediaman itu akan diduduki keluarga pelarian yang lain.

"Kita ada rakan pelaksana projek perumahan ini iaitu Ataa Foundation di Syria. Kita lihat sendiri lebih sejuta pelarian hidup daif dengan infrastruktur tidak sesuai dalam kem-kem pelarian di sini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Ataa Foundation, Muhammad Abdul Latif berkata, sejak 2015 sebanyak 9,000 unit rumah untuk pelarian sudah dibina sehingga kini di kawasan utara Syria.

Katanya, sebanyak sembilan buah sekolah pula sudah dibina untuk anak-anak pelarian dan pihak MyCARE serta Econsave yang membiayai pembinaan sekolah di Azaz akan membina dua lagi sekolah di Azaz dan Albab pada masa depan.