KPDN Terengganu rekod 570 kesalahan, nilai rampasan RM1.92 juta

Saharuddin (tengah) beramah mesra bersama seorang pengunjung sempena SHMMP Krismas 2023 di sebuah pasar raya Kuala Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
Saharuddin (tengah) beramah mesra bersama seorang pengunjung sempena SHMMP Krismas 2023 di sebuah pasar raya Kuala Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merekodkan 571 kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.92 juta bermula 1 Januari hingga 21 Disember lepas.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia hasil 50,651 pemeriksaan yang dijalankan di semua peringkat perniagaan di lapan daerah negeri ini.

Beliau berkata, daripada 571 kes tersebut, lima kes telah disabit kesalahan di mahkamah dan dikenakan denda keseluruhan sebanyak RM206,300 mengikut Akta Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Sebanyak 571 kes yang dihasilkan sepanjang tahun ini melibatkan pelbagai akta termasuk Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagangan 2019.

"Selain itu kompaun keseluruhan bernilai RM186,450 juga dikenakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan," katanya pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata, KPDN Terengganu juga telah menganjurkan 315 siri Program Jualan Rahmah (PJR) di seluruh negeri bermula 1 Januari hingga 20 Disember lalu.

Menurut beliau, program tersebut telah memberi manfaat kepada 395,661 pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan B40.

"Sebanyak 168 siri PJR yang dilaksanakan telah dijalankan di dalam premis; secara terbuka (10 siri) dan jualan bergerak (137 siri).

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak RM13 juta nilai jualan telah direkodkan sepanjang penganjuran 315 siri PJR berkenaan," katanya. - Bernama