Penerbit gesa PBAKL 2024 batal tempahan dibuat sebelum 15 Disember

Seorang pengunjung, Najwa Hanim memilih novel pilihannya di reruai Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Seorang pengunjung, Najwa Hanim memilih novel pilihannya di reruai Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (JK PBAKL) 2024 digesa untuk membatalkan tempahan reruai yang dibuat sebelum tarikh ditetapkan iaitu pada 15 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan bersama 27 penerbit, mereka mendakwa, hampir keseluruhan tapak dengan kedudukan yang strategik telah ditempah lebih awal.

“Ini jelas mencalarkan integriti JK PBAKL kerana telah mengundang rasa tidak puas hati, terzalimi dan amarah para peserta PBAKL 2024 yang menempah mengikut saluran dan tarikh betul.

“Kami menuntut supaya pengagihan tapak dibuat semula secara undian semula dan mengadakan suatu majlis pengundian tapak PBAKL 2024.

“Pada majlis ini undian semula perlu dibuat secara terbuka dan disaksikan oleh para peserta yang telah berdaftar,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Antara penerbit terlibat ialah Pelita Dhihin, Kasi Terbit, Terbit Sendiri, Prolog Media, Akademi Jawi Malaysia, Pujangga Baru, Taman Pustaka, Rabak Lit, Toko Buku Rakyat, Tokosue, Dubook Press, Nuhabooks, Zain Bookhouse dan Pustaka Islamiyah Holdings.

Turut terlibat, Nur Innai, Alim Rabbani, Penerbitan Hayrat, Toko Buku Azbakia, Himpunan Keilmuan Muslim, Pustaka Taybah, Bukuku Press, Jejak Tarbiah, Nik Nur Madihah, Baytul Hikma, Hijjaz Records Publishing, Bilek Buku & Pustaka Buku Warisan dan Khazanah Fathaniyah.

Dalam pada itu, penerbit berkenaan turut menegaskan bahawa mereka akan memanjangkan bantahan tersebut ke peringkat Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri dan agensi penguatkuasa kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (МуСС).

Artikel Berkaitan:

Antara bantahan lain yang turut dikemukakan ialah tiada makluman awal dan rasmi mengenai kenaikan harga sewaan tapak daripada RM3,500 ke RM3,750 untuk ahli.

“Kami diminta untuk membuat bayaran penuh, sedangkan amalan sebelum ini ialah bayaran deposit sebanyak 50 peratus.

“Kenapa perlu melangsaikan bayaran 100 peratus?

"Sekali lagi tiada apa-apa makluman rasmi awal mengenai hal ini,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, mereka juga mencadangkan kepada pihak JK PBAKL 2024 untuk menyatakan secara rasmi dan terbuka tentang tarikh-tarikh penting tempahan tapak supaya maklumat ini sampai secara adil kepada semua pihak.

Tambahnya, pihak penganjur juga perlu memaklumkan secara rasmi dan terbuka tentang jumlah tapak yang dibuka untuk tempahan.

“Mereka (pihak penganjur) perlu menyatakan perbezaan harga jika khemah itu terletak di tempat yang kurang tumpuan pengunjung.

“Seterusnya, memberitahu kepada bakal penempah untuk menyiapkan deposit sebanyak 50 peratus perlu melangsaikan dalam tempoh yang dimaklumkan lebih awal, secara rasmi dan terbuka,” jelas kenyataan itu.