Bekalan air di Pulau Pinang pulih sepenuhnya petang ini

Pathmanathan memberi penerangan mengenai plat yang dipasang pada saluran paip sebesar 1,350mm ketika melawat LRA Sungai Dua pada pagi Jumaat.
Pathmanathan memberi penerangan mengenai plat yang dipasang pada saluran paip sebesar 1,350mm ketika melawat LRA Sungai Dua pada pagi Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 120,000 pengguna di Pulau Pinang yang terjejas sebelum ini akan menerima bekalan air semula secara berperingkat bermula jam 2 petang Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu hanya merangkumi 70 peratus yang mana 30 peratus lagi akan menerima bekalan air pada lewat petang ini.

Menurutnya, ia susulan kerja kimpalan bawah air untuk membaiki kerosakan pada saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah telah siap.

"70 peratus pengguna akan mula menerima bekalan air pada jam 2 petang hari ini. Sementara itu, pemulihan bekalan air untuk baki 30 peratus lagi termasuk mereka yang berada di peringkat akhir (EoL) dan kawasan tanah yang lebih tinggi, akan dipulihkan secara berperingkat lewat hari ini.

"Sebanyak 14 buah lori tangki Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), pasukan bomba sukarela dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah berada di lokasi terjejas untuk menyalurkan air kepada pengguna sejak 20 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, sejak 10.30 pagi Jumaat, 15 buah lori tangki air dari stesen tambahan iaitu dari Kelantan, Selangor, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Terengganu dikerahkan untuk menyalurkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.

"Kita sedang berusaha untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan air secepat mungkin. PBAPP juga memantau dengan teliti prestasi bahagian saluran paip yang dibaiki bagi memastikan ia tidak pecah lagi.

"Kerja membaiki kerosakan pada saluran paip tersebut hanya penyelesaian sementara bagi menyalurkan semula bekalan air kepada pengguna. Masih terdapat kebocoran kecil pada tapak yang akan menjejaskan peratus air tanpa hasil (NRW) bagi Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow (kiri) LRA Sungai Dua bagi memantau kerja membaiki saluran paip yang pecah pada pagi Jumaat.
Kon Yeow (kiri) LRA Sungai Dua bagi memantau kerja membaiki saluran paip yang pecah pada pagi Jumaat.

"Bagaimanapun, PBAPP telah berusaha sedaya upaya untuk mengepam air yang secukupnya bagi memenuhi keperluan rakyat Pulau Pinang bermula hari ini," katanya.

Kon Yeow menambah, penyelesaian jangka panjang yang rasional untuk mengelakkan insiden sama berlaku di Sungai Perai adalah menggantikan bahagian saluran paip tersebut yang mana, ia bernilai RM5 juta.

"Mengikut rekod PBAPP, saluran paip bawah air sebesar 1,350mm itu telah dipasang oleh Pihak Berkuasa Air (PBA) pada 1996, iaitu sebelum PBAPP dikorporatkan. Ini menyebabkan, punca atau bila ia akan rosak tidak boleh dijangka.

"Oleh itu, PBAPP bercadang untuk melaksanakan projek bernilai RM5 juta pada tahun 2024 iaitu meletakkan bahagian saluran paip sebesar 200 meter yang baharu pada struktur yang melintasi sungai.

"Ini bermakna, saliran paip baharu itu akan lebih mudah diselenggara pada masa hadapan kerana ia akan disokong oleh struktur di atas Sungai Perai," katanya.

Beliau menambah, usaha itu akan mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan cadangan projek saluran paip yang menyeberangi Sungai Perai.

"Perkara ini akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd (PBAHB) untuk kelulusan tidak lama lagi kerana ia melibatkan saluran paip utama yang menyalurkan air setiap hari dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kepada lebih 100,000 pengguna air di Pulau Pinang.

"Insiden ini merupakan insiden tindak balas kecemasan dan tidak dijangka. PBAPP telah cuba sedaya upaya untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Ramai pengguna air yang terjejas marah dan kecewa kerana PBAPP menangguhkan perkhidmatan bekalan air sebanyak dua kali sejak 19 Disember lalu," katanya lagi.

Kata beliau lagi, PBAPP telah memohon maaf berulang kali kepada rakyat kerana isu bekalan air di negeri ini.

"Saya telah memberitahu PBAPP dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan untuk menerima semua kritikan dan aduan membina kerana bekalan air adalah perkhidmatan awam yang penting.

"Terima kasih kepada semua yang menghulurkan pertolongan dan membantu rakyat Pulau Pinang ketika mereka dalam kesusahan," katanya.

Sebelum ini, kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) akan mengalami gangguan bekalan air bermula Selasa.

Pathmanathan berkata, gangguan itu berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.

Menurutnya, penutupan tersebut bagi memudahkan kerja kimpalan bawah air untuk membaiki kerosakan pada saluran paip berkenaan.