Pulau Pinang kemuka permohonan naik tarif air kepada SPAN

Chow Kon Yeow - Foto Bernama
Chow Kon Yeow - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Pulau Pinang telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaikkan tarif untuk pengguna domestik di negeri itu kerana kali terakhir berlaku kenaikan ialah pada 2015.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, malah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menanggung lebih RM100 juta setiap tahun bagi subsidi air untuk pengguna domestik.

Katanya, Pulau Pinang kini menggunakan kadar tarif domestik (isi rumah) yang telah dikenakan sejak 2015, manakala ia memperkenalkan tarif baharu untuk pengguna bukan domestik atau komersial awal tahun ini.

"Sebenarnya banyak negeri sudah melaksanakannya (kenaikan) tarif air yang diberi kelulusan dan lambat-laun PBAPP perlu juga (naik tarif air) kami akan umumkan berhubung perkara itu nanti kerana tarif ini mempunyai banyak (kategori) selepas mengadakan perbincangan.

"Ketika ini air yang dibekalkan (kepada pengguna di Pulau Pinang) mendapat subsidi yang besar sebagai contoh PBAPP telah membelanjakan lebih RM1 untuk merawat setiap 1,000 liter air tetapi hanya menjualnya pada harga sekitar RM0.30 seliter.

"Kami membelanjakan lebih RM100 juta setahun walaupun tidak menaikkan tarif (air)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Rumah Mampu Milik dan Hartanah Pulau Pinang 2023 di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, Pulau Pinang perlu mengemukakan pelan perniagaan kepada SPAN setiap tiga tahun mengenai anggaran kadar tarif yang akan dilaksanakan termasuk memperbaharui lesen membekalkan air.

"Kami perlu serahkan dan kemukakan pelan perniagaan kami iaitu antaranya apakah jangkaan tarif yang membolehkan kami laksanakan peranan sebagai pembekal air...kiranya pelan perniagaan itu telah dihantar kepada SPAN termasuk kenaikan tarif air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Januari lepas, PBAPP melaksanakan pelarasan tarif air baharu bagi kategori bukan domestik dan khas membabitkan rumah ibadat serta kebajikan, premis kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan perkapalan mulai awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, bagi pengguna air domestik masih menikmati kadar tarif yang sama seperti biasa kecuali pengguna meter pukal domestik.

Sementara itu, mengenai paip pecah di Sungai Perai pada 18 Disember, Kon Yeow berkata, pengguna di beberapa kawasan di daerah Barat Daya masih memerlukan bekalan air daripada lori tangki air dan ia dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

"Berikutan pelbagai faktor teknikal, bekalan air di kawasan tersebut perlu dipulihkan secara berperingkat termasuk keperluan memantau pengangkutan sumber air selepas pembaikan, paras air dan tekanan selepas pintu pagar dibuka dan udara dalam tekanan paip air serta sebagainya," katanya.

Kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) mengalami gangguan bekalan air sejak Selasa lepas berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah. - Bernama