Kerajaan Pulau Pinang digesa berhenti 'buli' rakyat - Ravinder

Ravinder menunjukkan peta yang akan menempatkan asraman warga asing di Teluk Kumbar dalam sidang akhbar pada Rabu.
Ravinder menunjukkan peta yang akan menempatkan asraman warga asing di Teluk Kumbar dalam sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang harus menghentikan tindakan 'membuli' penduduk tempatan di negeri ini dengan menggerakkan projek pembangunan di kawasan mereka tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu.

Ia berikutan kelulusan dua permohonan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang berhubung pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar di sini.

Menurut Naib Pengerusi Parti Rakyat Malaysia Pulau Pinang, Ravinder Singh, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 menyatakan dengan jelas bahawa pembangunan adalah untuk rakyat, kebaikan komuniti selain rakyat mesti dirujuk sebelum sebarang projek diluluskan di dalam kawasan penempatan mereka.

Beliau berkata, undang-undang tersebut tidak memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk bertindak kejam terhadap masyarakat tempatan.

“Rundingan dengan masyarakat tempatan perlu diadakan terlebih dahulu seperti mana yang berlaku dalam kes pembangunan di Sungai Ara.

"Kerajaan negeri tidak sepatutnya membelakangkan undang-undang, undang-undang perlu dipatuhi. Perkara itu diakui dalam penghakiman di Mahkamah Persekutuan dalam kes di Sungai Ara," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Ravinder berkata, kerajaan negeri dilihat sangat mementingkan pemaju dan pihak industri apabila menyatakan asrama tersebut adalah permintaan daripada pihak industri.

"Kerajaan negeri begitu teruja untuk meluluskan apa sahaja projek pembangunan yang dicadangkan oleh pemaju. Tidak ada undang-undang bahawa semua projek yang dicadangkan oleh pemaju mesti diluluskan (pada sebarang kos).

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kerajaan negeri dengan angkuhnya telah menyebelahi pemaju sehingga sanggup membelakangkan penduduk tempatan di kawasan terlibat," katanya lagi.

Tambah beliau lagi, tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah mahu menghalau penduduk tempatan di kawasan berkenaan secara halus.

"Adakah ini strategi halus untuk menghalau penduduk tempatan keluar dari Teluk Kumbar dengan membuat mereka tidak selesa tinggal di kawasan majoriti warga asing?

“Teluk Kumbar akan bertukar menjadi 'bandar baru Teluk Kumbar, bandar pekerja asing' berikutan akan lebih 36,000 pekerja asing akan menetap di situ," katanya.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan negeri yang tidak menghiraukan bantahan yang dibuat Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz sebelum ini.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye berkata, dua permohonan yang diluluskan itu adalah mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras 1, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua serta 26 tingkat asrama pekerja melibatkan 512 unit di atas lot 1859,1860 dan 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn Bhd.