Gangguan bekalan air pulih selewatnya malam ini

Chow Kon Yeow (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian)
Chow Kon Yeow (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian)
A
A
A

BUTTERWORTH - Gangguan bekalan air di negeri ini yang berlaku sejak Selasa lalu berikutan kejadian paip pecah di dasar Sungai Perai dijangka pulih sepenuhnya malam ini (Sabtu).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada ketika ini hanya beberapa kawasan sahaja di hujung daerah Barat Daya yang masih belum mendapat bekalan air namun dibekalkan melalui lori tangki kepada penduduk yang terjejas.

Menurutnya, pemulihan bekalan air di seluruh kawasan yang terjejas perlu mengikuti proses teknikal yang dilakukan secara berperingkat.

"Pemulihan bekalan air perlu mengikuti proses teknikal secara berperingkat seperti perlu memastikan kawasan tadahan air atau dam penuh terlebih dahulu sebelum air dilepaskan.

"Seterusnya sebelum air disalurkan, perlu dipastikan saluran paip sudah dimasuki angin yang perlu dan ia dilepaskan oleh petugas pada setiap panjang jajaran dan beberapa proses lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ekspo rumah mampu milik dan hartanah Pulau Pinang yang diadakan di Butterworth Arena pada Sabtu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kira-kira 120,000 pengguna di Pulau Pinang yang terjejas selepas kejadian paip pecah di dasar Sungai Perai.

Kon Yeow sebelum ini berkata, kerja kimpalan bawah air untuk membaiki kerosakan pada saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah telah siap.

Beliau berkata, bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air sebanyak 14 buah lori tangki Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), pasukan bomba sukarela dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah berada di lokasi terjejas untuk menyalurkan air kepada pengguna sejak 20 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow menambah, penyelesaian jangka panjang yang rasional untuk mengelakkan insiden sama berlaku di Sungai Perai adalah menggantikan bahagian saluran paip tersebut yang mana, ia bernilai RM5 juta.

“Mengikut rekod PBAPP, saluran paip bawah air sebesar 1,350mm itu telah dipasang oleh Pihak Berkuasa Air (PBA) pada 1996, iaitu sebelum PBAPP dikorporatkan. Ini menyebabkan, punca atau bila ia akan rosak tidak boleh dijangka.

“Oleh itu, PBAPP bercadang untuk melaksanakan projek bernilai RM5 juta pada tahun 2024 iaitu meletakkan bahagian saluran paip sebesar 200 meter yang baharu pada struktur yang melintasi sungai.

“Ini bermakna, saliran paip baharu itu akan lebih mudah diselenggara pada masa hadapan kerana ia akan disokong oleh struktur di atas Sungai Perai,” katanya.