Tanah runtuh: Pemasangan cerucuk capai tahap lebih 40 peratus

Kerja pemasangan cerucuk di Taman Wawasan, Puchong susulan insiden tanah runtuh mencapai tahap 40.26 peratus dan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan. - Foto FB MBSJ
Kerja pemasangan cerucuk di Taman Wawasan, Puchong susulan insiden tanah runtuh mencapai tahap 40.26 peratus dan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan. - Foto FB MBSJ
A
A
A

SUBANG JAYA - Kerja pemasangan cerucuk di Taman Wawasan, Puchong susulan insiden tanah runtuh mencapai tahap 40.26 peratus dan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, sehingga kini Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) juga berjaya mengeluarkan empat buah kereta yang tertimbus di lokasi kejadian.

"MBSJ akan terus melaksanakan tindakan segera melaksanakan kerja-kerja pemasangan cerucuk di lokasi runtuhan dengan anggaran sejauh 150 meter bagi tujuan menahan pergerakan tanah.

"Dalam masa sama, kawalan 24 jam juga dilaksanakan di lokasi kejadian oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.

"Ini bagi memantau lokasi kejadian serta mengenal-pasti sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah yang boleh menimbulkan bahaya atau kejadian lebih buruk berulang," katanya.

Mohd Fauzi ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 12/2023 di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu di Subang Jaya di sini pada Jumaat.

Pada Sabtu lalu, seramai 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Dalam pada itu, ujarnya, orang awam dilarang memasuki kawasan terjejas manakala pemilik rumah yang ingin memasuki kawasan itu perlu melapor diri di pos kawalan di kawasan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam isu berasingan, Mohd Fauzi berkata, MBSJ mengambil langkah yang proaktif bagi menangani isu banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

"Pihak MBSJ sentiasa memantau 19 lokasi titik panas berisiko banjir dan menggerakkan kontraktor untuk memastikan sistem saliran dapat diselenggara mengikut jadual.

"Pusat Kawalan Subang Jaya juga sentiasa memantau sistem amaran paras air di empat lokasi dan berkongsi maklumat amaran di platform media sosial rasmi MBSJ serta dikongsi bersama pihak berkaitan menerusi aplikasi WhatsApps," katanya.

Disamping itu, ujarnya lagi, MBSJ juga bersedia menyedia dan membuka pusat pemindahan sementara yang telah diwartakan sekiranya diarahkan Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah.

"Pihak MBSJ memandang serius masalah ini dan sentiasa menambah baik dengan mencari kaedah terbaik bagi langkah langkah penyelesaian isu yang dihadapi," katanya.

Beliau menambah pelbagai langkah pencegahan, kesiapsiagaan telah dirancang sebagai persiapan menghadapi bencana khususnya dalam kawasan pentadbiran MBSJ.