Pengarah JSJ Bukit Aman turun padang, tinjau siasatan kes Zayn Rayyan

A
A
A

PETALING JAYA - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain hari ini turun padang meninjau perkembangan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartmen Idaman Damansara Damai di sini.

Mohd Shuhaily dilihat tiba di apartmen berkenaan kira-kira 1.10 tengah hari menaiki motosikal berkuasa tinggi diiringi dua kereta peronda sebelum diberikan penerangan mengenai kes berkenaan oleh beberapa anggota dipercayai pegawai penyiasat kes.

Mohd Shuhaily (dua, kiri) bersama anggota polis tiba di pekarangan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu. - Foto Bernama
Mohd Shuhaily (dua, kiri) bersama anggota polis tiba di pekarangan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu. - Foto Bernama

Mohd Shuhaily kemudian dilihat memasuki Blok R apartmen berkenaan, dipercayai untuk meninjau lokasi kejadian termasuk aliran anak sungai tempat mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.

Mohd Shuhaily bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan yang masuk hari ke-14, hari ini.

"Tiada apa-apa kenyataan daripada saya, semua maklumat oleh KP (Ketua Polis) Selangor,” katanya sebelum beredar dari apartmen itu pada 2.30 petang.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman pada keesokannya.

Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: