Kondominium antara diserbu, jadi pusat operasi 112 sindiket scam

Rusdi dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.
Rusdi dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 106 daripada 153 serbuan polis terhadap sindiket penipuan dalam talian menerusi pusat panggilan (call centre) dilakukan di kondominium yang dijadikan lokasi operasi kegiatan jenayah itu.

Kegiatan berkenaan terbongkar menerusi Op Magpie 01/2026 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 19 hingga 31 Oktober lalu dan membawa kepada penahanan 932 individu dan penumpasan 112 sindiket.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 153 serbuan dilakukan sepanjang operasi itu, melebihi sasaran awal 100 serbuan sebanyak 53 peratus.

"Polis turut menjalankan 650 pemeriksaan premis secara proaktif hasil tindakan bersepadu JSJK Bukit Aman bersama kontinjen seluruh negara.

"Daripada 932 individu yang ditahan, 106 adalah warganegara Malaysia manakala 826 lagi warga asing dan tangkapan membabitkan 796 lelaki dan 136 wanita," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan pecahan lokasi serbuan, sebanyak 106 dilakukan di residensi kondominium, 34 di premis perumahan, lapan di resort atau hotel, manakala lima lagi di bangunan pejabat, rumah kedai serta gudang.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, analisis awal mengenal pasti 136 rekod modus operandi penipuan dengan Pelaburan Tidak Wujud dan Love Scam masing-masing mencatatkan 27 rekod.

Katanya, ia diikuti Phone Scam (25), Judi Dalam Talian (16) serta Tawaran Kerja Tidak Wujud (11).

"Lebih membimbangkan, sindiket ini turut menyasarkan mangsa merentasi sempadan apabila 130 daripada 144 rekod sasaran negara membabitkan mangsa di luar negara, manakala 14 lagi di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"China mencatatkan sasaran tertinggi dengan 62 rekod, diikuti Amerika Syarikat (12), Vietnam dan Indonesia masing-masing tujuh serta Jepun dan Hong Kong SAR masing-masing enam," katanya.

Menurutnya, warga China mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 538 individu, diikuti Vietnam (93), Taiwan (40), Indonesia (36), Jepun (21), Pakistan (18), Myanmar dan Filipina masing-masing 14 orang.

"Hasil operasi itu, polis merampas 2,058 telefon bimbit, 433 komputer riba atau tablet, 161 komputer atau monitor, 112 router atau modem, 40 pasport atau visa serta tujuh kenderaan.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM102,635 selain pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan," katanya.

Rusdi berkata, daripada keseluruhan individu yang ditahan, seramai 809 dikenal pasti berperanan sebagai khidmat pelanggan atau operator, manakala 70 lagi merupakan penyelia atau ketua kumpulan.

"Sebanyak 117 kertas siasatan dibuka hasil operasi ini, dengan 70 masih dalam siasatan manakala 45 sudah dibawa ke peringkat pertuduhan di mahkamah.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama, penyelaras operasi serta pihak yang menguruskan kewangan dan menyediakan kemudahan kepada sindiket, termasuk menerusi analisis forensik digital, rekod komunikasi dan transaksi kewangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan, mesej atau tawaran pelaburan daripada individu tidak dikenali.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak berkongsi maklumat perbankan, kata laluan, nombor pengesahan sekali (OTP) atau kod pengesahan transaksi (TAC).

"Mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!