'Ayahanda mahu tenangkan fikiran dulu' - Yana Najib

Nooryana Najwa
Nooryana Najwa
A
A
A

KOTA MELAKA - Selepas sekian lama menjalani hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini mahu mengambil masa untuk menenangkan fikiran sebaik pulang ke kediamannya bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Anak perempuannya, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana berkata, bapanya ketika ini masih memerlukan ruang untuk berehat dan menenangkan fikiran selepas melalui tempoh panjang di Penjara Kajang.

Menurut Ketua Penerangan Puteri UMNO itu, keluarganya bersyukur kerana Najib pulang dalam keadaan selamat dan sihat, selain berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia yang selama ini menjaga serta memastikan keselamatan bapanya.

"Saya sempat bertemu dengannya pada malam Selasa. Buat masa sekarang, ayahanda masih menenangkan fikiran dahulu. Saya pun tidak dapat berjumpa dengannya semalam kerana terus bergegas datang berkempen.

“Saya rasa lega kerana beliau sudah dapat melaksanakan dan meneruskan proses tahanan rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program kempen PRN Melaka.

Ditanya kesan perkembangan itu terhadap jentera parti, Yana berkata, kepulangan bapanya turut memberikan suntikan semangat bukan sahaja kepada dirinya, malah anggota jentera BN yang sedang berusaha memastikan kemenangan parti itu di Melaka.

Jelasnya, perkembangan berkenaan tidak disangka berlaku serentak dengan tempoh kempen, namun maklum balas diterima daripada jentera BN menunjukkan mereka gembira dan bersyukur apabila Najib akhirnya dapat menjalani tahanan rumah.

“Sudah terlalu lama kita menunggu berita baik ini dan insya-ALLAH, kepada penyokong Datuk Najib serta jentera BN, jadikanlah perkembangan ini sebagai motivasi untuk terus berkempen bersungguh-sungguh dalam tempoh 48 jam ini dan memastikan BN menang di Melaka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Yana mengakui perkembangan berkenaan mungkin mempunyai dua sudut pandang berbeza, iaitu pihak yang menyokong dan menentangnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, sebagai anak perempuan, beliau dan keluarga sudah lama berdoa untuk melalui detik berkenaan manakala sebagai ahli parti, beliau mahu peraturan serta penghormatan terhadap institusi Raja terus dipelihara.

“Itu sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Jadi, kami menerimanya dengan fikiran terbuka dan saya rasa perkara paling penting bagi keluarga ialah beliau kini berada di rumah dengan selamat,” katanya.

Najib kembali ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada malam 10 November selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!