Pekarangan Apartment Idaman tidak semeriah dulu - Penduduk

Suasana di sekitar lokasi kawasan parkir di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini. - Foto Bernama.
Suasana di sekitar lokasi kawasan parkir di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini. - Foto Bernama.
A
A
A

PETALING JAYA - Jika dahulu pekarangan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini khususnya kawasan taman permainan, pastinya meriah dan riuh-rendah dengan suara kanak-kanak apabila musim cuti sekolah tetapi kini ia menjadi sunyi sepi sejak kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 5 Disember lepas.

Tinjauan Bernama mendapati bukan sahaja kawasan taman permainan, tempat parkir kenderaan, kaki lima dan anak tangga di semua blok di sini kelihatan lengang, tidak seperti kebiasaannya yang meriah dengan kelibat kanak-kanak kanak-kanak bermain di situ.

Anggota Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini dilihat keluar dari Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, untuk mengumpul lebih bahan bukti berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan. - Foto Bernama
Anggota Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini dilihat keluar dari Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, untuk mengumpul lebih bahan bukti berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan. - Foto Bernama

Menurut salah seorang penduduk di sini yang juga merupakan penolong perubatan di klinik berdekatan, Wan Hakim Abdul Aziz, 28, kebanyakan ibu bapa tidak lagi membenarkan anak-anak mereka bermain di luar rumah sejak insiden tragis itu berlaku.

"Semua blok sekarang sunyi, tapi yang paling sunyi blok ini (Blok R) sebab di sini biasanya paling meriah," katanya.

Sementara itu, pengasuh, Rahmah Resap, 52, berkata, sejak berlakunya kejadian yang menimpa adik Zayn Rayyan, sudah tiada kanak-kanak yang melepak sampai malam di apartment ini serta tiada juga kanak-kanak yang bermain buaian di taman permainan.

"Selain itu, saya perasan jika ibu bapa membawa anak mereka ke kedai berhampiran, mereka akan pastikan anak mereka berjalan di hadapan. Kalau dulu, tidak kesah pun anak berjalan di belakang,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, penduduk di blok bertentangan lokasi kejadian Mohd Helmi Abdullah, 59, berkata sebelum ini apabila tiba musim cuti sekolah, memang taman permainan ini menjadi tumpuan kanak-kanak di sini.

Artikel Berkaitan:

"Sunyi, sekarang tak ada siapa yang bagi anak keluar, sebelum ini kalau cuti sekolah meriah dengan kanak-kanak bermain," katanya.

Penyiasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang memasuki hari ke-12 hari ini berjalan seperti biasa dengan kehadiran sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12.45 tengah hari.

Pihak polis juga dilihat beredar keluar dari lokasi kejadian kira-kira jam 2.20 tengah hari, dua jam selepas meneruskan proses penyiasatan di lokasi kejadian.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!