Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis periksa unit kediaman tidak berpenghuni

Anggota Unit Forensik PDRM dilihat meninggalkan pekarangan Blok R, Apartment Idaman Damansara Damai pada petang Ahad.
Anggota Unit Forensik PDRM dilihat meninggalkan pekarangan Blok R, Apartment Idaman Damansara Damai pada petang Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Beberapa unit kediaman tidak berpenghuni melibatkan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selesai diperiksa polis pada Ahad.

Pemeriksaan berkenaan dijalankan dipercayai sebagai usaha mencari petunjuk dan bukti baharu berkaitan kes Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Antara yang terlibat dalam pemeriksaan itu adalah anggota Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pemeriksaan dijalankan melibatkan aras tiga dan empat bangunan Blok R terbabit yang dijalankan 17 anggota polis yang tiba di pekarangan Blok R di kira-kira jam 3 petang sebelum pemeriksaan berkenaan dipercayai selesai kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, usaha mencari bukti serta petunjuk baharu berkaitan kes ini masih dijalankan pihaknya.

"Setakat ini tiada mana-mana individu boleh dikaitkan dalam kes bunuh mangsa.

"Operasi mencari bukti masih diteruskan dan turut melibatkan sekitar lokasi penemuan mangsa," katanya.

Pada 6 Disember lalu, mangsa yang berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai kira-kira jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dipercayai dibunuh itu ditemui oleh kumpulan pihak berkuasa dan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.