'Pemimpin jangan gelapkan harta negara'

Hashim mendeklamasikan puisi bertajuk 'Rasuah Melahap Kita' pada Apresiasi Puisi Antirasuah sempena HARA Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Hashim mendeklamasikan puisi bertajuk 'Rasuah Melahap Kita' pada Apresiasi Puisi Antirasuah sempena HARA Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin yang diberi kuasa di negara ini digesa untuk sentiasa amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan tidak menggelapkan harta negara demi kepentingan sendiri.

Gesaan itu dibuat Canselor Kolej Universiti Inovasi, Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob menerusi puisi bertajuk 'Rasuah Melahap Kita' hasil nukilan beliau sendiri.

"Dengarlah ini puisi nestapa tertulis duka, ketika bulan tumbang membawa gelap malam. Rasuah sedang melahap kita, bertemasya dia (rasuah) ke sumsum tulang.

"Semakin lama ditentang semakin garang rasuah menyerang. Telah menyala api korupsi membakar langit menjadi merah, melukakan bumi jadi parah," katanya ketika mendeklamasikan puisi berkenaan pada Apresiasi Puisi Antirasuah.

Program apresiasi puisi itu diadakan sempena Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 yang berlangsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Puisi yang dideklamasikan Hashim dicipta beliau dalam masa singkat iaitu hanya dalam tempoh 10 minit.
Puisi yang dideklamasikan Hashim dicipta beliau dalam masa singkat iaitu hanya dalam tempoh 10 minit.

Sebanyak sembilan puisi dideklamasikan termasuk dalam bentuk lagu sepanjang program itu berlangsung, antaranya oleh Siso Kopratasa yang mengetengahkan karya 'Tajuk Kita Orang Melayu'; Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (Pejuang Banteras Rasuah) dan Bard Puisi (Al-Risywah).

Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters (Yayasan Sinar Untuk Malaysia), Nurhayati Nordin.

Artikel Berkaitan:

Menerusi deklamasi selama kira-kira lima minit berkenaan, Hashim yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) turut mendesak agar pemimpin selaku penguasa manusia supaya tidak berdusta, khianat, berlagak sombong dan berlaku kejam.

"Jangan kau menggelapkan harta, bergelumang dengan rasuah, tewas pada nafsu buas. Ayuh! Ayuhlah penguasa manusia, bangkit kau memadamkan rasuah," ujarnya.

Sementara itu, Hashim berkata, puisi itu diciptanya khas untuk penganjuran HARA Rasuah Busters sebagai teguran agar pemimpin menghindari perbuatan rasuah kerana korupsi yang berlaku boleh membawa kehancuran kepada semua pihak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!