HARA Rasuah Busters sebagai pendidikan antirasuah kepada masyarakat

Reruai Jabatan Penjara antara tumpuan pengunjung HARA Rasuah Busters 2023.
Reruai Jabatan Penjara antara tumpuan pengunjung HARA Rasuah Busters 2023.
A
A
A

PROGRAM Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 yang diadakan selama dua hari di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam bermula pada Rabu merupakan salah satu inisiatif untuk memberi pendidikan antirasuah kepada masyarakat.

Terdapat beberapa aktiviti khas yang disediakan termasuk pameran daripada pelbagai agensi seperti SME Integrity Talk, Wacana Khas, Apresiasi Puisi Anti Rasuah, Kompas Rasuah Busters, Bicara Bina Negara (IKRAM) dan persembahan kanak-kanak tadika.

Antara yang berjaya mencuri tumpuan pengunjung adalah pameran tali gantung dan rotan di reruai Jabatan Penjara yang digunakan untuk menghukum pesalah jenayah kolar putih.

Rotan yang dipamerkan membabitkan beberapa jenis mengikut kategori kesalahan dilakukan iaitu syariah, dewasa serta juvana yang menyebabkan keinsafan kepada orang ramai agar menjauhi jenayah tersebut.

Seiring teknologi canggih dengan pelaku yang semakin licik, program seperti ini wajar dilaksanakan setiap tahun agar sektor awam dan swasta mahupun masyarakat tidak terjebak dengan budaya mengambil atau menerima rasuah ketika dunia menuju ke arah pemulihan negara.

Selain itu, jenayah rasuah ini turut mengalami revolusi seiring dengan perubahan zaman, teknologi dan kepintaran manusia kerana ia ampuh daripada pandangan mata kasar.

Ia bukan sahaja melanggar undang-undang malah menjejaskan kemajuan ekonomi, imej dan pendapatan negara serta masyarakat selain mengancam institusi demokrasi.

Pengunjung menerima konsultasi daripada kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. - Foto Sinar Harian/ Asril Aswandi Shukor.
Pengunjung menerima konsultasi daripada kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. - Foto Sinar Harian/ Asril Aswandi Shukor.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan memberi atau menerima rasuah ini bukan hanya melibatkan wang ringgit semata-mata namun pemberian barangan berharga juga boleh dikatakan sebagai terlibat.

Tugas membendung jenayah ini bukan sahaja terletak pada sesuatu agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Namun, usaha memerangi rasuah ini menjadi tanggungjawab setiap individu, pelajar, masyarakat, pihak berkuasa, media, agensi awam dan juga swasta.

Justeru itu, program seumpama ini merupakan salah satu langkah yang wajar diperluaskan lagi dengan melibatkan lebih ramai anak muda untuk menyertai bagi meningkatkan kesedaran mengenai salah laku rasuah.

Ini kerana, generasi muda pada masa kini merupakan pemimpin pada masa depan yang perlu dididik dengan membenci rasuah sejak dari awal lagi bagi menjadikan negara sifar rasuah.

Di samping itu, undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia juga perlu sentiasa ditambah baik dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.