Bakal diusir, 500 penduduk Kampung Setia Jaya mohon campur tangan kerajaan

Penduduk membantah arahan pengosongan di Kampung Setia Jaya.
Penduduk membantah arahan pengosongan di Kampung Setia Jaya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya di sini yang bakal kehilangan penempatan mereka selepas pemilik tanah menggunakan saluran mahkamah untuk arahan pengosongan memohon campur tangan pemimpin dan kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu.

Wakil penduduk, Muhammad Syafiq Noor Sham, 32, berkata, penduduk sebelum ini telah menerima notis pengosongan disusuli pemilik tanah membuat saman pemula pada tahun lepas yang keputusan perbicaraan bakal diketahui pada Isnin ini.

Menurutnya, arahan pengosongan dikeluarkan secara serta-merta dan perbincangan yang dibuat sebelum ini tertumpu kepada bancian sahaja.

"Dalam tempoh lebih kurang sebulan (bancian), tiba-tiba keluar notis mahkamah untuk mengeluarkan keseluruhan penduduk Kampung Setia Jaya.

"Kami mohon pemimpin dan kerajaan campur tangan susulan penerokaan tersebut ketika bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang menyarankan bekas tentera membuat kebun dipanggil Buku Hijau di bandar," katanya pada himpunan aman bantahan pengosongan Kampung Setia Jaya pada Sabtu.

Himpunan aman itu disertai 30 penduduk bagi membantah notis pengosongan Kampung Setia Jaya.

Muhammad Syafiq dan Hanapiah
Muhammad Syafiq dan Hanapiah

Dalam pada itu, Muhammad Syafiq turut mempersoalkan tindakan pemilik tanah yang merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi apabila mengusir penduduk yang telah berada di kawasan itu masuk ke generasi keempat.

Artikel Berkaitan:

"Kami bukan orang kemampuan tetapi diusir dengan alasan untuk membuat membuat pembangunan pendidikan.

"Pendidikan membawa ilmu moral tetapi nilai itu tidak dibawa kepada penduduk asal di sini.

"Pengusiran kami merupakan tindakan yang keras dan kejam kerana penduduk tiada arah tuju selepas arahan tersebut dikeluarkan, " katanya.

Sementara itu, seorang pesara tentera berkata, Hanapiah Nordin, 65, berkata, penduduk sebelum ini pernah membuat permohonan geran kepada pejabat tanah namun permohonan itu ditolak.

"Kami telah bertahun tinggal di sini tetapi tiba-tiba permohonan itu diluluskan kepada pemilik tanah sekarang.

"Saya sarankan kerajaan siasat dan sila bantu kami," katanya.

Hanapiah berkata, penduduk sebelum ini diberi dua tawaran membabitkan saguhati RM30,000 namun ditolak penduduk.

"Tawaran pertama babitkan wang pemindahan dan kedua bentuk rebat. Jika rumah RM300,000, akan dapat rebat RM30,000 manakala baki RM270,000 perlu ditanggung penduduk.

"Tawaran ini kami tidak terima kerana kami tak mampu cari rumah dengan harga seperti itu. Kalau kami kena pindah, mana kami nak duduk?' katanya.

Seorang lagi penduduk, Zalipah Jaafar, 56, berkata, mereka meneroka kawasan itu daripada hutan menjadi kediaman sebelum disediakan fasiliti untuk kemudahan penduduk.

"Kami duduk dari tak ada bekalan elektrik dan air kemudian diluluskan pula peruntukan jalan, dewan dan sebagainya.

"Jika dikata tanah haram takkan diberikan kemudahan asas? Tidak patut layan kami begini.

"Patut kalau mahu kosongkan tanah ini kena sediakan penempatan baru tetapi kenapa sampai guna mahkamah?' katanya.