Halang gencatan senjata, AS bukan lagi juara hak asasi manusia

Kediaman penduduk Gaza musnah dibedil tentera Zionis. Foto: AFP. Gambar kecil: Muhammad Faisal Abdul Aziz
Kediaman penduduk Gaza musnah dibedil tentera Zionis. Foto: AFP. Gambar kecil: Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Amerika Syarikat (AS) hilang keabsahan untuk menjuarai hak asasi manusia sejagat, kebebasan dan perdamaian dunia apabila menggunakan kuasa veto menghalang gencatan senjata segera di Gaza.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, negara itu bertindak sedemikian terhadap resolusi gencatan senjata yang dikemukakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini merupakan kali kedua AS menghalang usaha damai di Palestin khususnya Gaza apabila dengan sengaja menghalalkan tindakan ganas rejim Zionis untuk membunuh lebih ramai orang awam terutama wanita, kanak-kanak dan orang tua.

“ABIM juga menggesa seluruh dunia menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNGA) untuk memulau AS,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

AS pada Jumaat memveto draf resolusi PBB yang diketuai oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan negara-negara Arab bagi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mencadangkan draf itu berkata, mereka berusaha untuk menyelesaikan resolusi berkenaan dengan cepat disebabkan peningkatan jumlah kematian dalam tempoh 63 hari konflik berlaku.

Menurut angka rasmi dari pihak berkuasa Gaza, lebih 17,000 penduduk telah terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Wanita dan kanak-kanak membentuk kira-kira 70 peratus daripada jumlah mangsa yang terbunuh dengan lebih 46,000 yang lain cedera manakala kira-kira 1.8 juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

Ketika kemarahan antarabangsa semakin memuncak terhadap serangan Israel ke atas Gaza, banyak negara melihat AS terbabit secara langsung dalam kekejaman tersebut.

Malaysia antara negara yang membantah dan kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan.