Gaza di ambang kehancuran total

Penduduk menyelamatkan seorang lelaki yang tertimbus selepas kediamannya runtuh dalam serangan udara terbaharu Israel di Deri El-Balah.
Penduduk menyelamatkan seorang lelaki yang tertimbus selepas kediamannya runtuh dalam serangan udara terbaharu Israel di Deri El-Balah.
A
A
A

NEW YORK - Genting Gaza berada di ambang kehancuran total apabila gencatan senjata terbaharu yang diusulkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) gagal diluluskan.

Kegagalan itu berpunca daripada tindakan sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi yang ditaja bersama hampir 100 negara anggota PBB.

Mengulas situasi itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan kegagalan gencatan tersebut memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza yang sudah pun melepasi tahap kronik.

“Gaza bukan sahaja menyaksikan kehancuran sistem kemanusiaan, malah ia lebih teruk daripada itu, kehancuran total!

“Gencatan senjata kemanusiaan amat diperlukan untuk mengelakkan malapetaka dengan implikasi yang tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin dan seluruh Asia Barat,” ujar Guterres.

Draf resolusi itu menerima sokongan 13 ahli UNSC, United Kingdom (UK) bagaimanapun memilih untuk berkecuali.

Rejim Zionis menyambung kempen pengebomannya ke atas Gaza pada 1 Disember lalu selepas jeda kemanusiaan antara Israel-Hamas gagal diperbaharui.

Sekurang-kurangnya 17,487 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 46,480 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tiada kesudahan ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas.

Artikel Berkaitan:

Angka kematian Israel dalam serangan Hamas pula kekal berjumlah 1,200 orang, menurut angka rasmi. - Agensi