Pakistan, Afghanistan kecam AS guna kuasa veto halang gencatan senjata di Gaza

Orang ramai meratapi mangsa yang terkorban dalam serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto Xinhua
Orang ramai meratapi mangsa yang terkorban dalam serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

NEW DELHI - Pakistan dan Afghanistan turut mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menghalang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Afghanistan, tindakan memveto resolusi itu memperlihatkan bahawa AS secara terbuka "bersubahat dengan kekejaman yang berterusan di Gaza.”

"Apabila kemanusiaan terikat kepada kehendak satu pihak, ia menggambarkan berlakunya sifat tidak adil dalam peraturan antarabangsa ketika ini, menghakis kredibiliti yang masih ada pada badan hak asasi manusia dan menunjukkan perlunya peraturan yang lebih adil,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pakistan turut kesal kerana Majlis Keselamatan sekali lagi gagal menggesa gencatan senjata di Gaza walaupun tragedi kemanusiaan sedang berlaku di wilayah berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan walaupun Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB dan amarannya tentang malapetaka kemanusiaan di Gaza, majlis keselamatan itu gagal melaksanakan tanggungjawab utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Penerusan kempen Israel di wilayah Palestin yang diduduki akan menambah lagi penderitaan manusia, lebih ramai lagi orang awam akan menjadi korban dan berjuta-juta lagi penduduk akan diusir. Ia juga boleh mencetuskan konflik yang lebih meluas dan berbahaya...," menurut kenyataan itu.

Ketika kemarahan antarabangsa semakin memuncak terhadap serangan Israel ke atas penduduk Gaza dan kemusnahan hospital, sekolah, kemudahan PBB, masjid dan kawasan kediaman, banyak negara melihat AS terlibat secara langsung dalam kekejaman terhadap rakyat Palestin.

"Saya amat kesal kerana AS sanggup mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah untuk kepentingan Zionisme,” kata Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi dalam hantaran di laman sosial X.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rusia melihat "cannibalistic logic" dalam tindakan Israel di Gaza dan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan menganggap sistem politik Amerika "tidak berdaya dalam isu berkaitan dengan Israel."

Timbalan Duta Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy mendakwa Israel cuba mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza dengan membuatkan kehidupan mereka amat sengsara.

"Pengeboman tanpa henti dan serangan yang disasarkan ke atas kemudahan awam yang bertujuan untuk menimbulkan panik dan kengerian dalam kalangan orang awam mendedahkan strategi sistemik ke arah penempatan semula secara paksa penduduk Palestin," kata diplomat kanan Rusia itu semasa perbincangan PBB mengenai Gaza.

Beliau berkata, logik di sebalik tindakan rejim itu hanya untuk menjadikan kehidupan di Gaza sengsara dan menjadikan penduduk tidak mempunyai pilihan lain, sama ada melarikan diri dari tanah air mereka atau dibunuh. - Bernama