Majlis Keselamatan PBB perlu diperbaharui - Erdogan

Erdogan
Erdogan
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mengulangi gesaannya untuk mereformasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNSC) susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) memveto resolusi menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

"Disebabkan veto oleh AS, tiada keputusan dicapai. Majlis Keselamatan PBB perlu diperbaharu.

"Kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada Majlis Keselamatan PBB. Sejak 7 Oktober, Majlis Keselamatan PBB yang misinya untuk mewujudkan keamanan global telah bertukar menjadi pelindung Israel," kata Erdogan semasa berucap pada Hari Hak Asasi Manusia Sedunia di Istanbul, lapor Agensi Anadolu.

Israel meneruskan serangan di Semenanjung Gaza pada 1 Disember selepas jeda kemanusiaan selama seminggu berakhir.

Kira-kira 17,700 rakyat Palestin di wilayah terkepung itu terbunuh dalam serangan udara dan darat Israel sejak 7 Oktober.

Erdogan menegaskan bahawa rejim Israel dengan sokongan penuh Barat sedang melakukan kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Kami akan teruskan perjuangan agar orang yang tidak bersalah di seluruh dunia dapat menikmati masa depan dengan keyakinan.

"Buat anak-anak di Gaza, buat ibu dan bapa di Gaza yang memeluk insan tersayang mereka dengan linangan air mata, kami akan terus menyuarakan suara kami,” kata Erdogan. - Bernama

Artikel Berkaitan: