Kilang terbakar: Perlu PPE akibat kandungan pencemar tinggi

Antara keadaan di lokasi kejadian kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau Kedah. Antara keadaan di lokasi kejadian kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau Kedah. - Foto JAS
Antara keadaan di lokasi kejadian kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau Kedah. Antara keadaan di lokasi kejadian kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau Kedah. - Foto JAS
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lokasi kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau dipercayai mempunyai kandungan pencemar yang tinggi sehingga memerlukan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk memasuki kawasan terbabit.

Perkara itu disahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui kenyataan yang dikemas kini pada Selasa.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, secara keseluruhannya, kualiti udara ambien sekitar Bukit Selambau adalah terkawal.

Menurutnya, hujan beberapa kali selepas kejadian juga membantu membersihkan udara yang tercemar, namun kawasan yang terbakar masih lagi mempunyai kandungan pencemar yang agak tinggi dan memerlukan penggunaan PPE untuk memasukinya.


Sharifah Zakiah (kiri) memantau keadaan lokasi kebakaran di Bukit Selambau. - Foto JAS
Sharifah Zakiah (kiri) memantau keadaan lokasi kebakaran di Bukit Selambau. - Foto JAS

"JAS Kedah hari ini meneruskan siasatan di sebahagian tapak yang telah terbakar, selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Sampel buangan termasuk sampel buangan elektrik dan elektronik (ewaste) telah dihantar ke Jabatan Kimia Negeri Kedah untuk analisis," katanya.

Jelas beliau, JAS turut membuat penerbangan dron bagi merakamkan keseluruhan visual dan mengesan sekiranya terdapat pencemaran yang berasal daripada kawasan terlibat atau punca-punca pencemaran lain berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut memasang dua alat pengukur kualiti udara iaitu Meter Cerex yang dapat mengesan dan mengukur sekitar 350 gas pencemar dan meter Grimm untuk mengukur habuk PM10 dan PM2.5," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau pada Ahad mengejutkan penduduk setempat berikutan api marak selain letupan dan percikan bunga api dapat dilihat jelas di udara.