Pusat refleksologi, spa tawar khidmat seks diserbu

Sebahagian yang ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Selera di Johor Bahru pada petang Ahad. - Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor
Sebahagian yang ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Selera di Johor Bahru pada petang Ahad. - Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seramai 46 warga asing ditahan kerana dipercayai bekerja tanpa permit yang sah hasil serbuan dalam Ops Gegar dan Ops Selera di beberapa pusat refleksologi dan spa termasuk tiga restoran, di sini pada petang Ahad.

Turut ditahan ialah seorang wanita warga tempatan dipercayai majikan kepada pekerja warga asing terbabit.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, serbuan dibuat sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Setia Tropika dan pegawai dari Bangunan Sultan Iskandar Jabatan Imigresen Malaysia Johor sekitar jam 4.45 petang susulan aduan awam mengenai beberapa premis pusat refleksologi dan spa menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Tangkapan yang dibuat melibatkan seorang wanita warga tempatan serta 46 individu warga asing yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang disyaki palsu,” katanya.

Katanya, selain wanita warga tempatan, kesemua warga asing yang ditahan melibatkan tiga lelaki dan 32 wanita warga Indonesia, lapan wanita Thailand, dua lelaki India dan seorang lelaki warga Bangladesh yang kesemuanya berusia antara 21 hingga 58 tahun.

Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala seorang warga tempatan ditahan bawah Seksyen 561(1)(d) Akta Imigresen 1959-63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing.

Sementara itu, Baharuddin berkata, Jabatan Imigresen Malaysia mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan tinggal di Malaysia dengan bekerja secara haram dan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan kepada majikan dan pemilik bangunan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Imigresen Malaysia meminta orang ramai untuk tampil ke hadapan dan menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka bagi memastikan keamanan negara dijaga secara bersama," katanya.