MM2H: Hanya 4 warga asing diluluskan beli hartanah di Perak

Saarani ketika sesi soal jawab lisan sempena Sidang DUN Perak di Ipoh pada Rabu. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Saarani ketika sesi soal jawab lisan sempena Sidang DUN Perak di Ipoh pada Rabu. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) hanya meluluskan empat permohonan perolehan hartanah bagi peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sejak tahun 2020.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga 1 November lalu, sebanyak RM50,700 kutipan levi yang diperoleh menerusi program ini.

Menurutnya, MM2H diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 2002 bertujuan menarik warga asing yang memenuhi syarat untuk tinggal dalam jangka masa panjang di Malaysia.

"Syarat yang perlu dipenuhi ialah pesertanya mesti mempunyai simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta, berbanding antara RM300,000 hingga RM500,000 yang ditetapkan sebelum ini.

"Pendapatan luar negara peserta MM2H mesti sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini dan mereka juga perlu mempunyai aset cair bernilai sekurang-kurangnya RM1.5 juta," katanya ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga menggunakan pendekatan bersepadu bagi menarik lebih ramai warga asing untuk melabur, bekerja, belajar dan bersara di bawah program MM2H.

Beliau berkata, peranan jabatan dan agensi berkaitan diperkasa untuk bersama-sama meningkatkan promosi pelaburan, pelancongan dan pendidikan di Perak.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 12/2022 telah menetapkan Dasar Perolehan Hartanah oleh Warganegara Asing di Negeri Perak melibatkan tujuh aspek utama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia melibatkan Penetapan Paras Harga Minima Mengikut Zon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kategori dan Jenis Hartanah; Penetapan Had Kuota Perolehan; Penetapan Jenis Pegangan Perolehan; Perolehan Hartanah Oleh Warganegara Asing; Penetapan Kadar Bayaran Levi Perolehan Hartanah; Penetapan Kadar Harga Minima Hartanah Program MM2H dan Perolehan Hartanah Oleh Penduduk Tetap; dan Larangan Perolehan Hartanah Oleh Warganegara Asing.