Qatar gesa siasatan antarabangsa berkenaan 'jenayah Israel' di Gaza

Rakyat Palestin berkabung selepas ahli keluarga mereka terkorban susulan serangan tentera rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza. - Foto EPA
Rakyat Palestin berkabung selepas ahli keluarga mereka terkorban susulan serangan tentera rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza. - Foto EPA
A
A
A

DOHA - Perdana Menteri Qatar memaklumkan negaranya menggesa "siasatan antarabangsa segera yang terperinci dan tidak berat sebelah" berkaitan apa yang disifatkan sebagai jenayah Israel ke atas Gaza.

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani memberitahu agensi berita Al Jazeera pada Ahad, Qatar akan meneruskan usaha rundingan bagi mencapai gencatan senjata kekal di Gaza.

Gencatan senjata selama seminggu antara Israel dan Hamas - yang diusahakan Qatar dengan sokongan Mesir dan Amerika Syarikat - menyaksikan 80 tahanan Israel dan 240 rakyat Palestin dibebaskan.

Gencatan senjata berakhir pada Jumaat dengan kedua-dua pihak menunding jari berlaku perlanggaran syarat rundingan.

Israel memanggil balik perunding Mossad dari Qatar pada Sabtu manakala timbalan ketua Hamas memberitahu Al Jazeera, kumpulan itu tidak akan meneruskan rundingan untuk membebaskan tahanan Israel.

Sejak Jumaat lalu, Israel meningkatkan serangan ke atas Gaza dan pegawai media kerajaan memaklumkan sejumlah 700 rakyat Palestin telah terkorban dalam tempoh 24 jam.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 15,523 rakyat Palestin telah terkorban sejak serangan bermula pada 7 Oktober lalu - lebih 70 peratus daripada jumlah itu merupakan wanita dan kanak-kanak. - Awani

Artikel Berkaitan: