Memo dalaman: Wan Rosdy gesa siasatan lanjut

Tangkap layar kenyataan Wan Rosdy di Facebooknya pada Ahad. Wan Rosdy (kiri).
Tangkap layar kenyataan Wan Rosdy di Facebooknya pada Ahad. Wan Rosdy (kiri).
A
A
A

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan wujudnya 'memo dalaman' Jabatan Peguam Negara yang menyentuh enam pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, siasatan itu amat penting kerana dikatakan antara intipati utama memo tersebut adalah berkenaan cadangan daripada pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC) kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu.

"Ia sebulat suara berpendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

"Siasatan perlu dilakukan dengan kadar segera kerana isu memo ini boleh menggugat kredibiliti serta imej sistem perundangan dan kehakiman negara, sekali gus memberi kesan yang tidak baik terhadap keyakinan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara," kata beliau dalam hantaran Facebook miliknya pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, ia turut memberi kesan langsung kepada proses perbicaraan di mahkamah yang sedang dihadapi Najib ketika ini.

"Demi menjunjung kedaulatan undang-undang dan memastikan sistem perundangan kekal berintegriti dan diyakini, adalah mustahak agar perhatian serius diberikan oleh pihak Peguam Negara terhadap perkara ini," katanya.

Pada Rabu lalu, UMNO Pekan mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat dan menjelaskan kepada umum berkaitan dokumen tular yang didakwa sebagai ‘memo dalaman’ AGC oleh pasukan pendakwaan IPIC baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jika dokumen yang tular itu sahih, ia jelas menunjukkan berlaku kezaliman terhadap Najib yang dipenjara atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos tahun lalu.