Perdana Menteri hanya santuni permintaan saudara baharu - Mohd Na'im

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang saudara baharu di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, baru-baru ini hanyalah untuk menyantuni permintaan rakyat Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan mana-mana undang-undang di negara ini.

"Beliau hanya menyantuni rakyat yang mahukannya melakukan upacara itu dan kehadirannya di situ tidak dirancang. Pada masa sama, Perdana Menteri sendiri yang mengislamkan, tentulah ia sesuatu yang menarik dan mungkin hari bersejarah dalam hidup saudara baharu itu," katanya.

Mohd Na'im berkata, pengislaman itu juga dilakukan atas permintaan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Klang, Hushim Salleh yang kebetulan solat di masjid yang sedang melakukan majlis pengislaman itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di sini pada Jumaat, bagi mengulas kritikan sesetengah pihak terhadap tindakan Anwar mengislamkan seorang mualaf yang dianggap sebagai bukan kerja Perdana Menteri, selepas menziarahi waris pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari, 53, mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam.

Satu video berdurasi 1 minit 26 saat tular menerusi laman media sosial sejak 18 Ogos lepas menunjukkan Anwar dilihat mahu meninggalkan masjid selepas solat Jumaat di situ tetapi dijemput untuk menyempurnakan majlis berkenaan menyebabkan beliau duduk kembali.

Pada hari itu, Anwar yang dijadual menunaikan solat Jumaat di Sri Petaling telah memilih Masjid Ar-Rahimiah, Klang selepas bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menziarahi waris mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya akan melihat jenis bantuan yang disalurkan kepada waris Sharipuddin iaitu balunya Suriani Muda, 43, serta dua anak Nur Izzara Arissya, 9, dan Muhammad Sharul Izuan, 16, terutama dari aspek persekolahan.

"Antara lain kita akan syor kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk turun melihat apa yang mereka perlu bagi kelangsungan hidup kerana isteri mangsa tidak bekerja, dan juga akan melihat dari segi pemberian zakat,” katanya selepas menyampaikan wang tunai RM3,000 sumbangan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan serta sumbangan peribadinya kepada waris Allahyarham Sharipuddin.

Pada 17 Ogos, 10 individu terkorban dalam nahas pesawat itu membabitkan dua kru pesawat, enam penumpang serta dua orang awam termasuk Sharipuddin yang melalui jalan itu ketika kejadian. - Bernama