Lori lebih muatan punca jalan alternatif rosak

Keadaan jalan utama di Kampung Lombong yang masih dalam proses baik pulih.
Keadaan jalan utama di Kampung Lombong yang masih dalam proses baik pulih.
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan jalan alternatif di Kampung Lombong, Seksyen 29 yang didakwa rosak dan mendatangkan bahaya dikenal pasti berpunca daripada lori berat yang membawa muatan melebihi had.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tindakan beberapa pemandu lori yang membawa muatan melebihi had dan melalui jalan tersebut telah menyebabkan kerosakan kepada laluan alternatif terbabit.

Menurutnya, walaupun terdapat palang disediakan bagi menghalang kenderaan melebihi muatan melalui jalan itu, namun ia dipasang di lokasi tidak strategik.

"Terdapat had muatan tertentu yang dibenarkan buat kenderaan berat melalui jalan ini, namun ia tidak dipatuhi sehingga menyebabkan struktur laluan menjadi rosak.

"Walaupun ada palang, namun ia dipasang di tempat tak strategik. Ada juga cadangan daripada penduduk agar meletakkan pengawal di palang tersebut bagi memantau lori keluar masuk," katanya kepada Sinar Harian.

Baru-baru ini, jalan alternatif di Kampung Lombong itu dibuka kepada penduduk selepas mereka terpaksa melalui laluan utama yang rosak sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, pengguna dan penduduk kampung berkenaan tiada pilihan dan terpaksa menempuh jalan berlubang besar dan rosak itu kerana ia merupakan satu-satunya laluan keluar kampung yang menghubungkan dengan kawasan luar.

Malah, penduduk juga pernah mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk turun padang melihat sendiri jalan utama kampung itu yang membahayakan pengguna lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, kelewatan projek naik taraf jalan utama di Kampung Lombong itu adalah berpunca daripada masalah pengalihan sistem utiliti di kawasan berkenaan.

"Banyak utiliti di bawah jalan itu perlu dialihkan dan disebabkan itulah projek ini mengalami kelewatan. Saya difahamkan, pemaju juga turut meminta tempoh lanjutan pembinaan sehingga akhir tahun 2020," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah beberapa kali membawa isu tersebut kepada kerajaan Selangor dan satu mesyuarat pelarasan akan dilaksanakan bersama agensi berkaitan pada 8 Januari nanti.

"Saya harap buat masa ini penduduk dapat bersabar terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada pihak berkaitan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik demi kebaikan semua pihak," katanya.