Runtuhan gudang: JKKP siasat lokasi kejadian, notis henti kerja dikeluarkan

Pasukan JKKP Pulau Pinang dan Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia sedang membuat siasatan di lokasi kejadian.
Pasukan JKKP Pulau Pinang dan Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia sedang membuat siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah menjalankan siasatan susulan di tapak runtuhan gudang di Batu Maung dekat sini bersama pasukan Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia.

Pengarah JKKP Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, notis pemberhentian serta merta ke atas semua kerja-kerja di tapak pembinaan gudang terbabit telah dikeluarkan dan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian turut dijalankan.

"Siasatan yang dijalankan adalah menjurus kepada Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan.

"Kita juga telah mengarahkan majikan untuk melantik penyiasat bebas bagi mengenal pasti punca kejadian dan menilai kualiti struktur pembinaan di tapak pembinaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, JKKP Pulau Pinang hanya akan membatalkan notis yang dikeluarkan sekiranya semua bukti-bukti di tempat kejadian telah diperoleh.

"Pembatalan notis juga boleh dibuat sekiranya pihak jabatan berpuas hati dengan langkah pembaikan dan kawalan yang akan diambil bagi mengelakkan kemalangan seumpama ini berulang pada masa akan datang.

"Majikan bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Hairozie berkata, mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan.

Artikel Berkaitan:

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan," katanya.

Tambahnya lagi, JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor termasuk sektor pembinaan.

"Jabatan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini termasuk di dalam sektor pembinaan," katanya.

Dalam kejadian malam Selasa lalu, polis mengesahkan tiga buruh binaan maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian runtuhan tersebut.

Kesemua mangsa merupakan warga negara Bangladesh.

Sebelum kejadian, 18 pekerja sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat.

Bagaimanapun, empat pekerja yang dikatakan tertimbus sebenarnya masih hidup selepas mereka melarikan diri kerana ketakutan.